129 warga Filipina diusir dari Sabah

129 warga Filipina diusir dari Sabah

SERAMAI 129 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina diusir ke negara asal mereka melalui Program Pemindahan PATI Siri 1 Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah, semalam.

Pengarah JIM Sabah Datuk Sh Sitti Saleha Habib Yusoff, berkata kesemua PATI berkenaan adalah tahanan dari Depot Imigresen Tawau dan dipindahkan ke negara asal melalui laut dari pelabuhan Sandakan, Sabah ke pelabuhan Zamboanga City, Filipina.

Menurutnya, pecahan tahanan yang diusir adalah membabitkan 81 tahanan lelaki, 25 tahanan wanita, 17 kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah dan enam orang kanak-kanak berusia 23 bulan ke bawah.

“Kanak-kanak yang terbabit dengan penghantaran pulang ini adalah bersama ibu, bapa atau penjaga masing-masing.

“Kesemua tahanan diusir melalui laut dengan menggunakan pengangkutan Feri MV Antonia 1,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, tahanan berkenaan ditahan di Depot Imigresen kerana melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Operasi pemindahan ini adalah sebahagian daripada operasi berterusan dilakukan JIM Sabah bagi tahanan warga asing yang ditempatkan di semua Depot Imigresen seluruh negeri Sabah.

“Jabatan ini merakam penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terbabit dalam operasi pengusiran ini khususnya kerajaan negeri dan pihak kedutaan Filipina,” katanya. – Malaysiapost

Komen