140 ketua bahagian tak mahu dua jawatan tertinggi Umno dipertandingkan

140 ketua bahagian tak mahu dua jawatan tertinggi Umno dipertandingkan

SERAMAI 140 Ketua Umno Bahagian sebulat suara tidak mahu jawatan Presiden dan Timbalan Presiden parti itu dipertandingkan pada pemilihan akan datang.

Ketua Umno Bahagian Wangsa Maju, Datuk Seri Dr Mohd Shafie Abdullah, berkata mereka sepakat memohon Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mempertimbangkan perkara tersebut, kerana Umno pada saat ini perlu diperkukuhkan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

“Umno perlu bersatu, tidak perlu pertandingan Presiden dan Timbalan Presiden,” katanya pada sidang media, malam tadi.

Beliau berkata, semua 126 ketua bahagian termasuk semua pengerusi perhubungan negeri Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Perlis, Melaka, Perak hadir pada pertemuan malam ini, manakala 14 orang tidak dapat hadir atas sebab yang tak dapat dielakkan.

“Walaupun ada yang tak hadir, tapi apa jua yang kami putuskan hari ini mereka menyokong penuh dan saya telah bertanya dengan semua ketua bahagian kita tidak perlu ada pertandingan Presiden dan Timbalan Presiden.

“Saya harap Presiden boleh ambil pandangan kami kerana tujuannya untuk kita bersatu bersama-sama berjuang untuk perkukuhkan parti,” katanya.

Selasa lalu, bekas Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin memberi isyarat bahawa beliau akan bertanding mencabar kedudukan Ahmad Zahid sebagai Presiden.

Khairy sebelum ini mendesak Ahmad Zahid mengambil tanggungjawab melepaskan jawatan susulan keputusan buruk Umno pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang menyaksikan parti itu hanya menang 26 kerusi Parlimen.

Namun semalam, Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, PAU2022 tidak akan memutuskan tarikh bagi pemilihan parti yang mesti diadakan dalam tempoh enam bulan selepas PRU15.

Katanya lagi, tarikh bagi tujuan itu akan ditentukan beberapa minggu lagi memandangkan Umno masih mempunyai masa untuk mengadakan pemilihan sebelum 19 Mei depan. – Malaysiapost

Komen