Asyraf Wajdi tidak pertahan jawatan Ketua Pemuda

Asyraf Wajdi tidak pertahan jawatan Ketua Pemuda

DATUK Dr Asyraf Wajdi Dusuki, mengumumkan untuk tidak mempertahankan jawatannya sebagai Ketua Pemuda Umno malaysia pada pemilihan parti nanti.

Beliau menegaskan, langkah itu diambil sebagai mengambil tanggungjawab penuh atas kegagalan Barisan Nasional (BN) menarik sokongan pengundi muda dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang lalu.

“Saya boleh menyatakan secara terus terang seperti saudara Shahril Hamdan (bekas Ketua Penerangan Umno), saya mohon maaf atas kesilapan saya, kegagalan saya memimpin anda semua.

“Saya ambil keputusan untuk tidak lagi mempertahankan jawatan saya,” katanya ketika ucapan penggulungan Perhimpunan Agung Pemuda Umno di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di Kuala Lumpur, hari ini.

Menurutnya, hasrat untuk melepaskan jawatan itu sudah dinyatakan lebih awal, iaitu pada malam BN tewas 19 November lalu, namun dihalang Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Setakat ini, Ketua Umno Bahagian Subang Datuk Armand Azha Abu Hanifah telah mengesahkan akan bertanding bagi merebut jawatan Ketua Pemuda Umno Malaysia dalam pemilihan parti kali ini.

Sementara itu, Asyraf Wajdi turut mengingatkan pemimpin Umno supaya tidak seronok dengan jawatan dalam kerajaan sekarang, sebaliknya memberi fokus penuh kepada usaha memulihkan parti.

“Nak pastikan Umno relevan kita kena pulihkan parti, jangan syok jadi kerajaan,” katanya.

Selain Asyraf Wajdi, Shahril yang juga Naib Ketua Pemuda Umno turut mengambil peluang memohon maaf kepada perwakilan di atas kegagalan Umno untuk mencipta kemenangan dalam PRU lalu.

Katanya, sekarang bukan masa untuk menyalahkan mana-mana pihak, sebaliknya perlu memberi fokus kepada usaha untuk memulihkan imej Umno.

Shahril berkata, Umno perlu bangkit atas kekuatannya sendiri dan tidak boleh bergantung kepada pihak lain.

“Kita mesti perbetulkan imej kita untuk memenangi kembali kepercayaan rakyat.

“Kebangkitan Umno perlu melalui Umno sendiri, kebangkitan Umno bukan melalui Pakatan Harapan (PH). Jangan kebangkitan kita melalui jalan singkat,” katanya. – Malaysiapost

Komen