‘Buat apa nak sorok, umum lah awal’ – Isham Jalil

‘Buat apa nak sorok, umum lah awal’ – Isham Jalil

Najamuddin Mohd Nor

AHLI Umno yang berhajat untuk bertanding dalam pemilihan parti itu tahun ini tidak perlu lagi ‘menyorok-nyorok’ lagi dalam mengumumkan niat mereka itu.

Ketua Penerangan Umno, Isham Jalil berkata, adalah lebih baik mereka mengumumkannya secara awal sekali gus memanfaatkan Perhimpunan Agung Umno 2022 (PAU 2022) sebagai platform untuk menyatakan hasrat mereka itu.

“Sesiapa yang nak bertanding jawatan Presiden, Timbalan Presiden dan tiga Naib Presiden itu, saya nak cadangkan supaya mereka umumkan awal-awal. Buat apa nak sorok-sorok ya.

“Kalau kita cakap malam-malam saja, belakang-belakang saja dah tak elok ya. Beritahu awal-awal lah.

“Saya kira platform Perhimpunan Agung Umno ini semua perwakilan ada, jadi gunakanlah umum bertanding jawatan itu, lagi awal lagi bagus,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Laman Media PAU 2022, di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, hari ini.

Isham juga menegaskan, Umno tidak sesekali akan menghalang ahlinya untuk bertanding dalam sebarang pertandingan jawatan untuk pemilihan parti itu tahun ini.

“Sama seperti saya cakap sebelum ini, Umno tidak menghalang sesiapa nak bertanding jawatan Presiden, Timbalan Presiden atau jawatan-jawatan lain dalam parti ini.

“Kita tidak pernah menghalang, malah Umno tidak buat menggubal Perlembagaan Umno untuk menghalang jawatan tertinggi itu daripada dipertandingkan,” katanya.

Mengulas mengenai pendirian 140 Ketua Umno Bahagian yang mahu dua jawatan tertinggi parti itu tidak dipertandingkan, Isham menjelaskan, pendirian itu telah melepasi dua pertiga daripada 191 Bahagian Umno di seluruh negara.

“Ini tidak bermaksud kita halang sesiapa bertanding ya. Ini cuma inisiatif, usul dan cadangan mereka membuat ‘understanding’ supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan.

“Mereka berpandangan adalah lebih baik tidak dipertandingkan jika ia mendatangkan lebih banyak keburukan kepada Umno.

“Sebab ketika ini masa kritikal Umno yang baru saja masuk dalam kerajaan perpaduan, dan masih rapuh bagi saya,” katanya. – Malaysiapost

Komen