Ibu Chef Wan meninggal dunia

Ibu Chef Wan meninggal dunia

IBU kepada selebriti masakan popular, Datuk Redzuan Ismail, 64 atau Chef Wan meninggal dunia awal pagi tadi.

Menerusi perkongsian di Instagramnya, Chef Wan memaklumkan ibunya, Noraini Abdullah, 93, menghembuskan nafas terakhir awal pagi tadi.

“Dengan penuh rasa duka cita dimaklumkan bahawa ibu saya yang tersayang telah meninggal dunia jam 6.20 pagi tadi dalam tidurnya di Hospital Gleneagle.

“Semoga rohnya bersemadi dengan aman, diampunkan segala dosa, serta ditempatkan bersama orang yang beriman kelak,” tulisnya.

Chef Wan berkata, jenazah Allahyarham akan disembahyangkan di Masjid Putra Putrajaya dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Cyber 10.

“Terima kasih tidak terhingga kepada semua ucapan serta doa untuk Allahyarham ibu saya. Alhamdulillah,” katanya.

Dalam hantarannya sebelum ini, Chef Wan memaklumkan ibunya sedang menerima rawatan akibat kanser tahap empat di sebuah hospital.

Difahamkan, selain menghidap kanser, Allahyarham turut mengalami alzheimer dan dimentia. – Malaysiapost

Komen