Jemaah menteri baharu Sabah tidak ikut saranan PM – Shafie Apdal

Jemaah menteri baharu Sabah tidak ikut saranan PM – Shafie Apdal

MAJLIS angkat sumpah jemaah menteri baharu Sabah tidak menggambarkan satu Kerajaan Perpaduan, sekali gus telah membelakangi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata tindakan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor tidak mengikut saranan Perdana Menteri dan melanggar persetujuan serta kesepakatan yang telah dicapai.

“Dengan adanya persetujuan dan kesepakatan untuk menubuh satu Kerajaan Perpaduan di Sabah yang terdiri daripada semua parti yang mengganggotai kerajaan di peringkat persekutuan,

“..ini akan dapat mengatasi kemelut politik di Sabah dan seterusnya memantapkan pemerintahan negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Shafie berkata, Warisan telah memberi sokongan penuh kepada saranan Perdana Menteri pada 9 Januari lalu untuk pembentukan sebuah Kerajaan Perpaduan di Sabah.

Katanya, saranan tersebut juga mendapat persetujuan dan sokongan daripada Umno serta Parti Kesejahteraan Demokratik Malaysia (PKDM) yang turut hadir pada pertemuan itu.

“Penubuhan secepat mungkin sebuah Jawatankuasa Khas juga ditetapkan bagi merungkai butiran-butiran berkaitan kepimpinan Kerajaan Perpaduan Sabah yang bertujuan untuk menyelesaikan kemelut politik di negeri ini,” katanya.

Rombakan Kabinet kerajaan Sabah yang diumumkan Hajiji semalam, menyaksikan perubahan dalam lapan daripada 11 portfolio menteri negeri.

Tiga menteri dari Umno/Barisan Nasional (BN) iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag, Datuk Seri Bung Moktar Radin; ADUN Krambunai, Datuk Yakub Khan dan ADUN Sukau, Datuk Jafry Arifin digugurkan.

Ia berikutan tindakan BN Sabah diketuai Bung Moktar menarik sokongan kepada kerajaan negeri dan Ketua Menteri hingga mencetuskan kemelut politik minggu lalu. – Malaysiapost

Komen