MKT tak bincang pertandingan jawatan Presiden, Timbalan Presiden – Ahmad Zahid

MKT tak bincang pertandingan jawatan Presiden, Timbalan Presiden – Ahmad Zahid

MESYUARAT Khas Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno malam ini tidak membincangkan isu pertandingan dua jawatan utama parti berkenaan dalam pemilihan parti yang akan datang.

Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata mesyuarat yang berlangsung selama kira-kira satu jam itu sebaliknya hanya membincangkan persiapan program Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2022, esok.

“Memang menjadi kelaziman bahawa mesyuarat khas akan diadakan oleh MKT untuk mendengar laporan daripada Pengerusi Tetap berhubung persiapan Perhimpunan Agung (Umno).

“Malam ini, Pengerusi Tetap sudah menerima laporan mengenai persiapan berkenaan,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mesyuarat MKT Umno yang diadakan di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, malam ini.

Ditanya sama ada MKT berbincang mengenai persiapan dan kerjasama sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) pula, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, perkara berkenaan dibincangkan pada mesyuarat akan datang.

Sementara itu, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin ketika ditemui pemberita pula memaklumkan isu pergolakan politik Sabah juga tidak disentuh, dan akan dibincangkan dalam mesyuarat lain. – Malaysiapost

Komen