PAU 2022: Pemuda, Puteri desak Umno singkir pengkhianat

PAU 2022: Pemuda, Puteri desak Umno singkir pengkhianat

PEMUDA dan Puteri Umno hari ini, mendesak supaya saki-baki ‘pengkhianat’ disingkirkan segera supaya kumpulan itu tidak terus menjadi barah yang akan merosakkan parti.

Kedua-dua sayap Umno itu menyifatkan mana-mana pihak yang terbukti cuba memusnahkan Umno perlu diambil tindakan segera dan parti tidak harus bertolak ansur dengan golongan berkenaan.

Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata pembersihan itu perlu dibuat untuk mengembalikan penyatuan dalam parti.

“Pemuda Umno mendesak agar saki baki pengkhianat parti yang selama ini menjadi api dalam sekam, gunting dalam lipatan dan mengutamakan diri daripada parti disingkirkan terus daripada menjadi barah yang merosakkan seluruh organ dan jasad parti,” katanya.

Asyraf Wajdi berkata, Pemuda Umno kekal teguh mempertahankan institusi Presiden Umno kerana presiden merupakan pusat kepada sesebuah parti.

Menurutnya, sejak PRU14 hinggalah PRU15 kedua-dua kepimpinan tertinggi parti dibunuh kredibiliti dan diwajahkan dengan persepsi hodoh akibat pendakwaan politik terpilih hingga mengakibatkan Umno jatuh tersungkur.

“Malangnya kita sendiri yang merelakan segala kebobrokan yang berlaku. Pentas media sosial peribadi dibuka ruang untuk kepimpinan sendiri dihina

“Sesetengah calon kita juga memilih untuk menjadi ‘hero’ dengan mencerca parti. Dijaja kononnya mengundi beliau bermakna undi untuk memulihkan Umno yang sesat, rosak dan korup.

“Seolah-olah dialah satu-satunya yang paling suci, paling sempurna dan paling hebat segalagalanya. Sebab itulah strategi menyerang peribadi pemimpin adalah senjata paling ampuh,” katanya.

Sementara itu, Ketua Puteri Umno, Datuk Zahida Zarik Khan berkata, mana-mana pihak yang merasakan dirinya lebih besar daripada parti harus dikenakan tindakan disiplin.

Beliau menegaskan Umno tidak boleh bertolak-ansur dengan mereka yang mengkhianati parti tidak kiralah ahli biasa atau yang memegang jawatan.

“Berparti ada adabnya, tiada tempat untuk mereka yang biadap terhadap parti.

“Pengkhianat parti adalah seperti barah, barah jika tidak dipotong dia akan merebak dan merosakkan seluruh sistem tubuh yang bernama Umno.

“Kita kena sanggup sakit dibedah hari ini daripada kita menderita distage lima yang akan memusnahkan seluruh tubuh badan kita,” katanya.

Perkara itu dinyatakan Asyraf Wajdi dan Zahida ketika menyampaikan ucapan dasar Ketua Pemuda dan Puteri sempena Perhimpunan Agung Umno 2022 (PAU 2022) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini. – Malaysiapost

Komen