Puteri gesa jentera media sosial Umno diperkasakan

Puteri gesa jentera media sosial Umno diperkasakan

PUTERI Umno akan melakukan ‘post mortem’ dalam masa terdekat, khusus untuk mengkaji apa faktor sebenar yang menjadi penyebab anak muda tidak bersama Umno pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang lalu.

Ketuanya, Datuk Zahida Zarik Khan, berkata tindakan itu penting bagi memastikan Puteri Umno kekal relevan, sekaligus menjadi tarikan untuk pengundi muda bersama Umno pada pilihan raya akan datang.

“Bagi memastikan Puteri Umno terus relevan kepada anak muda, Puteri akan lakukan ‘post mortem’ khusus untuk mengkaji apakah faktor sebenar yang menjadi penyebab anak muda tidak bersama kita pada PRU-15.

“Menerusinya, kita akan dapat mengenal pasti apakah faktor yang mempengaruhi trend pengundian golongan muda. Kita perlu kaji semula gerak kerja.

“Mungkin cara kerja kita kena berubah, mungkin pendekatan kita kena berubah selepas ini. Kita tidak boleh gunakan konsep dan kaedah yang sama lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi penggulungan Perhimpunan Agung Puteri Umno 2022 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di Kuala Lumpur, hari ini.

Sementara itu, beliau berkata ada yang mengatakan media sosial menjadi punca utama Umno kalah dan ditolak rakyat dan perka itu memang sering ditegaskan oleh Puteri Umno.

“Ada yang kata media sosial (punca). Kita dalam tiap-tiap kali Perhimpunan Agung Umno, Puteri akan tegaskan media sosial perlu diambil berat kerana kita memandang mudahnya.

“Jentera media sosial mesti diperkasakan, kita tidak boleh lagi ketinggalan. Perlu reformasi (jentera) media sosial yang sedia ada dan lebih fokus serta segmentasikan kandungan supaya terus kepada kumpulan sasar dan bukan secara rawak.

“Kita minta kepimpinan parti untuk sediakan satu badan atau dana khusus secara konsisten bagi memastikan media sosial kita (Umno) bukan setakat melepas ‘batok di tangga’, tetapi dilaksanakan di semua peringkat sehingga cawangan,” katanya. – Malaysiapost

Komen