Puteri Sarah fail cerai Isnin ini

Puteri Sarah fail cerai Isnin ini

PELAKON Puteri Sarah Liyana dijangka akan memfailkan perceraian dengan suaminya, Syamsul Yusof di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur, Isnin ini.

Difahamkan, permohonan untuk bercerai itu sepatutnya difailkan hari ini namun ditangguhkan ke minggu depan, lapor Utusan.

Perkara tersebut disahkan oleh peguam syarie, Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Puteri Sarah atau nama penuhnya, Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin.

Peguam terbabit turut memberitahu pada ketika ini, hanya permohonan cerai sahaja yang akan difailkan Isnin ini.

Menjawab pertanyaan sama ada Puteri Sarah akan hadir pada pemfailan permohonan cerai itu, Akberdin menjawab: “Pasti hadir”.

Pada 10 Januari lalu, Puteri Sarah melalui Instagramnya memohon agar Syamsul ‘melepaskannya’ kerana dia tidak rela dimadukan.

Namun, Syamsul mendakwa dia kini sedang berusaha memperbaiki hubungannya dengan Puteri Sarah. Malah, meminta isteri pertamanya itu untuk pulang ke rumah dan berbincang mengenai kemelut rumah tangga mereka.

Pada 6 Januari lalu, Syamsul, 38, membuat pengakuan melalui video di Instagram mengesahkan dia sudah bernikah dengan Ira Kazar di Thailand berwalikan bapa mentuanya, pelakon veteran Kazar Saisi.

Kemelut rumah tangga Syamsul dan Sarah mula diperkatakan sejak empat tahun lalu, tetapi anak sutradara tersohor, Datuk Yusof Haslam itu tidak pernah membuka mulut mengenai perkara itu.

Menerusi Instagram Puteri Sarah, dia kini sedang menjalani penggambaran di Port Dickson.

Syamsul dan Puteri Sarah berkahwin pada 8 Mac 2014 dikurniakan dua cahaya mata, Syaikhul Islam, 6, dan Sumayyah, 4. – Malaysiapost

Komen