‘RCI buku tulisan Tommy bagi cari kebenaran, jadi jangan takut’ – Puad

‘RCI buku tulisan Tommy bagi cari kebenaran, jadi jangan takut’ – Puad

PENUBUHAN Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) meneliti dakwaan dalam buku bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas adalah langkah terbaik kerana isu tersebut menimbulkan banyak kontroversi melibatkan badan kehakiman.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata bagaimanapun tidak perlu wujud dakwaan bahawa penubuhan RCI tersebut adalah cubaan mengancam badan kehakiman.

“Tahniah. Semalam Menteri Undang Undang umum RCI terhadap Tommy Thomas. Semoga (Ketua Hakim Negara) Tun Tengku Maimum (Tuan Mat) tidak tuduh ini usaha untuk menakut nakutkan badan kehakiman.

“RCI ini adalah syor Pasukan Petugas Khas terhadap buku Tommy Thomas. Laporan itu menyebut wujud campur tangan perlantikan hakim dan Ketua Hakim oleh Tommy Thomas dan Tun M (Mahathir Mohamad),” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Mohd Puad berkata, kontroversi melibatkan buku tulisan bekas Peguam Negara itu juga telah membocorkan siasatan kes berprofil tinggi termasuk SRC International Sdn Bhd.

“Terlalu banyak kontroversi. Termasuk Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan sahkan draf penghakiman rayuan kes SRC Najib (Datuk Seri) telah bocor,” ujarnya.

Semalam, Mesyuarat Jemaah Menteri bersetuju menubuhkan RCI bagi meneliti dakwaan dalam buku bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas bertajuk “My Story: Justice in the Wilderness”.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, RCI itu diputuskan selepas meneliti syor-syor dikemukakan Pengerusi Pasukan Petugas Khas Siasatan buku berkenaan, Datuk Seri Fong Joo Chung.

Beliau berkata, penubuhan RCI ini selaras Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119) yang terletak di bawah bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong.

Katanya, RCI ini bertujuan mencari kebenaran serta mengemukakan syor kepada kerajaan untuk reformasi institusi perundangan negara dan bukannya untuk mencari kesalahan mana-mana pihak tertentu.

Sementara itu, Mohd Puad turut bersependapat dengan kenyataan Azalina bahawa RCI tersebut bertujuan mengemukan syor kepada kerajaan terhadap siasatan dakwaan Tommy.

“Setuju dengan Azalina ‘RCI ini bertujuan untuk mencari kebenaran serta mengemukakan syor reformasi institusi perundangan negara’. Maka jangan takutlah,” katanya. – Malaysiapost

Komen