Sertai Kerajaan Perpaduan demi menyelamatkan Umno – Ahmad Zahid

Sertai Kerajaan Perpaduan demi menyelamatkan Umno – Ahmad Zahid

LANDSKAP politik negara sudah berubah dan jika Umno masih berpegang kepada kaedah politik konvensional, parti itu akan terperangkap dan terkubur sebelum ajalnya, tegas Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) menjelaskan mengenai tindakan yang dibuat dalam BN memilih menyertai Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan disertai DAP yang menjadi seteru lama parti berkenaan.

Menurutnya, tindakan yang diambil adalah bagi menyelamatkan Umno daripada Bersatu yang ingin ‘membunuh’ dan menggantikan Umno.

“Umno mahu dibunuh dan dikuburkan serta diambil alih oleh Bersatu. Adakah kita mahu bersama dengan mereka yang terlalu banyak muslihat kononnya atas prinsip Islam dan Melayu, pastinya kita akan terbunuh.

“Saya mesti menyelamatkan parti. Saya tegaskan ini satu realiti politik baharu dan saya mengambil perkiraan jika memilih hanya bersama satu pihak, kita akan mati. Adakah kita menerima kematian politik sebelum ajalnya?” katanya dalam satu temu bual di Malaysia Gazette malam ini.

Ahmad Zahid kini usaha menjelaskan kepada kepimpinan parti dan ahli akar umbi mengenai tindakan yang diambil sedang dilakukan.

“Maka tentu beberapa tindakan yang positif harus dilakukan. Prasangka, bias memang ada pada kepimpinan, dan tentu sukar mahu menghapusnya dalam tempoh terdekat.

“Tentu ada beberapa kekangan, perbezaan pendapat dan kelainan prinsip, namun realiti politik baharu harus kita depani dengan penuh kebijaksanaan politik

“Proses untuk mewujudkan kesedaran di kalangan kepimpinan dan ahli-ahli di akar umbi mesti dilakukan,” katanya. – Malaysiapost

Komen