Tok Mat cadang jawatan Presiden Umno, Timbalan tidak dipertandingkan

Tok Mat cadang jawatan Presiden Umno, Timbalan tidak dipertandingkan

TIMBALAN Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan berpandangan adalah lebih baik jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan bagi mengelak perpecahan lebih buruk dalam Umno.

Bagaimanapun, Mohamad Hasan berkata, beliau terbuka sekiranya jawatan Timbalan Presiden itu dicabar dan beliau sedia mempertahankannya.

“Saya tak ada isu, tak ada isu apa-apa siapa nak bertanding jawatan Timbalan Presiden, saya akan mempertahankan, saya tak ada isu.

“Begitu juga dengan jawatan Presiden, tapi kalau dalam keadaan kita jatuh terduduk begini, sebaiknya jawatan Presiden Umno dan lain-lain jawatan itu eloklah menang tanpa bertanding kan?

“Itu sebaiknya. Kalau bertanding itu mesti sedikit sebanyak ada perpecahan, tak tahulah terpulang,” katanya ketika ditemui media, malam tadi.

Menteri Pertahanan itu berkata, Umno sebagai parti yang mengamalkan demokrasi, proses pertandingan untuk mana-mana jawatan adalah perkara biasa.

Katanya, Umno bukan lagi mensyaratkan kuota tertentu untuk seseorang calon seperti yang pernah berlaku dalam parti itu suatu ketika dulu.

“Sekarang ini senang saja – ada seorang penyokong dan pencadang, off you go (silakan). Jadi terpulanglah, tepuk dada tanya selera,” katanya.

Semalam, muncul poster didalangi pihak tertentu yang menunjukkan beberapa pemimpin kanan Umno untuk dicadangkan mengetuai parti terbabit.

Menggunakan tanda pagar #ResetUmno ia menunjukkan Ahli Parlimen Titiwangsa Datuk Seri Johari Abdul Ghani sebagai Presiden, manakala bekas Nenteri Kesihatan Khairy Jamaluddin sebagai timbalannya.

Turut dipaparkan ialah bekas menteri besar Johor Datuk Seri Hasni Mohammad; Menteri Besar Pahang Datuk Wan Rosdy Wan Ismail dan bekas Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Dalam pada itu, Mohamad berkata, keputusan sama ada mahu jawatan tertinggi Umno dipertandingkan atau tidak terletak kepada ahli parti itu sendiri. – Malaysiapost

Komen