‘Umno diperlukan untuk bentuk kerajaan’ – Zahida

‘Umno diperlukan untuk bentuk kerajaan’ – Zahida

KETUA Puteri Umno, Datuk Zahida Zarik Khan berkata, sekarang adalah masa untuk pemimpin Umno dalam kerajaan memberi khidmat terbaik menerusi pengalaman dalam mentadbir.

Beliau berkata, Timbalan Presiden Umno, Datuk Mohamad Hasan sudah menjelaskan kepada perwakilan mengenai sebab Umno dan Barisan Nasional (BN) menyertai Kerajaan Perpaduan dalam Perhimpunan Agung Umno 2022 (PAU2022), malam tadi.

“Antara isi penting ucapan Timbalan Presiden adalah menjelaskan kenapa Umno, Barisan Nasional menyertai Kerajaan Perpaduan hari ini.

“Walau pelbagai cabaran, akhirnya Umno diperlukan dalam memastikan kerajaan dapat dibentuk segera seperti yang dititah oleh Yang di-Pertuan Agong,” katanya menerusi Facebook.

Zahida berkata, Umno akan memastikan segala keluh kesah rakyat dapat ditangani dengan baik secara bersama.

Terdahulu, Mohamad menegaskan, keputusan menyertai Kerajaan Perpaduan adalah kerana kepimpinan berpandangan, penyertaan itu jalan terbaik kerana memberikan Umno, peranan yang unik dan strategik.

Menurutnya, Umno harus melakukan tugas patriotiknya untuk negara ini, memastikan bahawa, kerajaan dapat dibentuk, dengan bantuan Umno, walaupun tewas dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Kerana kedudukan negara yang genting pada saat itulah, maka Umno memeterai persefahaman dengan Pakatan Harapan (PH), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk bekerjasama, mentadbir negara ini.

“Saya faham bahawa, ramai yang mempersoalkan, mengapa kita memilih, untuk bekerjasama dengan PH. Pokoknya, Umno tidak menyertai PH, ataupun membelakangkan Perikatan Nasional (PN). Kita memilih, mengutamakan Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri sempena PAU 2022 di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur, malam tadi. – Malaysiapost

Komen