Umno jatuh kerana serangan peribadi terhadap Najib – Zahida

Umno jatuh kerana serangan peribadi terhadap Najib – Zahida

UMNO dan Barisan Nasional (BN) jatuh ketika Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kerana serangan peribadi pihak lawan terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Ketua Puteri Umno, Datuk Zahida Zarik Khan, berkata melenyapkan Najib atau digelar ‘Bossku’ adalah strategi pihak lawan paling penting untuk melemahkan Umno.

‘Namun tujuh Pilihan Raya Kecil (PRK) sehinggalah Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor. Senjata kita yang paling berkesan ialah orang yang bergelar “Bossku” dan dialah juga paling ditakuti oleh lawan.

“Hanya bersenjatakan laman Facebooknya dua Perdana Menteri tersungkur. Masihkah kita ingat setiap kali beliau turun mengadakan “road show” Barisan Nasional digeruni.

“Melenyapkan Bossku adalah strategi paling penting untuk melemahkan Umno dan Barisan Nasional. Ternyata mereka berjaya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Puteri Umno 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.

Zahida berkata, persepsi bahawa Perikatan Nasional (PN) parti bersih adalah kenyataan mitos yang perlu dibongkar.

Katanya, ia kerana perbicaraan terhadap bekas Gabenor Bank Negara (BNM), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz dan suaminya masih tidak kedengaran, begitu juga siasatan terhadap Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Dalam masa sama, Zahida menyoal sama ada siasatan terhadap dua kes tersebut sengaja dilewatkan kerana melibatkan integriti perbicaraan agar Najib dipenjara dan dilenyapkan dari arena politik.

“Maka perlu kita tanya diri kita sendiri sewaktu bermuhasabah ini. Bukan untuk menyalahkan sesiapa atau mengungkit perkara yang telah berlalu.

“Apakah strategi mengadakan PRU hanya selepas Bossku dipenjarakan itu datang dari kita atau digerakkan oleh tangan musuh-musuh kita? Semua ini perlukan jawapan segera. Kalau kita berdiam semuanya akan dilupakan.

“Namun inilah asas naratif yang dilemparkan terhadap kita sehingga persepsi dibentuk untuk melupakan apa jua jasa dan khidmat bakti yang kita berikan sebelum ini,” katanya. – Malaysiapost

Komen