Utamakan kepentingan rakyat, elakkan perkara mungkar – Rahman Dahlan

Utamakan kepentingan rakyat, elakkan perkara mungkar – Rahman Dahlan

Rahman Dahlan ucap tahniah kepada 2 wakil Umno dalam Kerajaan Sabah

AHLI Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, berharap dua wakil Umno dalam Kabinet Kerajaan Sabah dapat menjalankan tugas dengan sebaiknya serta menjaga reputasi Umno negeri.

Menerusi hantaran di Facebooknya, Abdul Rahman turut mengucapkan tahniah kepada kedua-dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Umno berkenaan, serta berharap mereka tidak membuat perkara-perkara yang ‘mungkar’ dalam menjalankan tugas

“Setinggi-tinggi tahniah kepada Datuk Shahelmey Yahya dan Datuk James Ratib di atas perlantikan sebagai Timbalan Ketua Menteri (TKM) dan ahli Jemaah Menteri Kerajaan Negeri Sabah.

“Selamat bertugas untuk negeri Sabah dan parti Umno. Utamakanlah kepentingan rakyat, elakkan membuat perkara-perkara yang mungkar dalam menjalankan tugas.

“Jagalah nama dan reputasi UmnoSabah sebaik-baiknya dalam kerajaan,” tulisnya.

Dalam pada itu, Abdul Rahman turut mendoakan mereka berdua beroleh kesihatan yang baik, minda waras dan pemikiran tajam untuk menyumbang kepada pembangunan Sabah dan kesejahteraan rakyat negeri itu.

Semalam, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan Ahli Jemaah Menteri Kerajaan Sabah yang baharu, dengan tujuh melibatkan Adun Gabungan Rakyat Sabah (GRS), manakala masing-masing dua daripada BN dan Pakatan Harapan (PH).

Sementara, Ketua Umno Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin digugurkan daripada jawatan Timbalan Ketua Menteri dan Menteri Kerja Raya dalam rombakan itu.

Susulan itu, Bung Moktar mendakwa Umno Sabah tidak mengiktiraf pelantikan Adun mewakli Umno yang membarisi Kabinet baharu negeri dalam rombakan semalam.

Ini kerana katanya, Umno Sabah tidak memberikan cadangan untuk dua Adun terbabit dilantik menganggotai Kabinet pimpinan Hajiji. – Malaysiapost

Komen