Wanita Umno tuntut jawatan Presiden, Timbalan tidak dipertandingkan

Wanita Umno tuntut jawatan Presiden, Timbalan tidak dipertandingkan

WANITA Umno menuntut agar kedua-dua jawatan tertinggi parti itu tidak dipertandingkan pada pemilihan Umno akan datang.

Justeru, Ketuanya, Datuk Seri Noraini Ahmad menggesa ahli memberi sokongan kepada Presiden dan Timbalan Presiden parti untuk memulih serta memperkasakan Umno demi survival politik parti.

“Melihat kepada apa yang sedang berlaku dalam parti dan situasi politik semasa, sudah tiba masanya untuk kita bersama-sama dengan kepimpinan yang ada, bangkit memulihkan kekuatan parti dan keyakinan rakyat. Membawa Umno kembali ke landasan perjuangan yang hakiki.

“Kita harus bersatu hati menerima keputusan kepimpinan dalam merancang strategi kerjasama politik antara parti dan istiqamah dalam perjuangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar Ketua Wanita sempena Perhimpunan Agung Umno 2022 (PAU 2022) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Noraini berkata, Wanita Umno menggesa parti itu segera melaksanakan pembersihan dalaman secara keseluruhan tanpa sebarang kompromi.

Katanya, perkata itu antara pembaharuan yang perlu dilakukan segera bagi mengukuhkan semula parti sekali gus mengembalikan kepercayaan masyarakat kepada Umno.

“Untuk Umno kembali kuat, bangkit dan pulih, kita perlu rombak pendekatan, gerak kerja dan pelan tindakan kita, untuk memastikan keberkesanan serta kesesuaiannya dengan perubahan zaman,” katanya.

Ahli Parlimen Parit Sulong itu berkata, Umno juga perlu sedar bahawa parti itu bukan sahaja telah gagal meraih sokongan rakyat, tetapi seolah-olah dilihat sebagai parti yang tidak lagi memperjuangkan nasib orang Melayu.

“Walaupun Umno telah banyak berjasa, ia bukan tiket atau jaminan Umno akan kekal relevan kerana banyak perkara yang perlu dilihat,” katanya.

Tegas Noraini lagi, proses pemulihan Umno dan Barisan Nasional (BN) perlu dilakukan segera bagi memastikan parti itu kembali bangkit.

“Kita perlu bersatu hati dalam usaha membina negara bangsa yang lebih utuh dan mapan, bukannya bertelagah sesama kita.

“Kita juga perlu mengambil langkah untuk memperbaiki imej parti supaya lebih diterima rakyat. Politik khidmat sahaja tidak lagi boleh menjamin kemenangan kepada calon yang bertanding,” katanya.

Beliau berkata, keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) wajar dijadikan iktibar untuk menilai kelemahan parti.

“Justeru, kita perlu memperbaiki dan merancang strategi yang lebih berkesan, seterusnya kembali bangkit bagi meraih kepercayaan rakyat untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di beberapa negeri kelak,” katanya. – Malaysiapost

Komen