Zahid maafkan 10 Ahli Parlimen tanda tangan SD sokong Muhyiddin

Zahid maafkan 10 Ahli Parlimen tanda tangan SD sokong Muhyiddin

PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaafkan 10 Ahli Parlimen parti itu yang belot menandatangani akuan bersumpah (SD) menyokong Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

Seorang perwakilan memaklumkan, Ahmad Zahid pada mulanya dikatakan tidak menyebut secara spesifik nama wakil rakyat berkenaan sebaliknya hanya menyatakan nama kawasan parlimen sahaja.

Katanya, tindakan itu menyebabkan sorakan daripada para perwakilan yang meminta Timbalan Perdana Menteri menyebut nama-nama Ahli Parlimen yang dimaksudkan, memetik Utusan Malaysia.

Bagaimanapun, kata sumber, Ahmad Zahid memaafkan 10 individu tersebut dan meminta mereka untuk memperkukuhkan parti setelah tewas dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Presiden Umno juga memaafkan ahli-ahli Umno yang membuat onar sebelum ini dan meminta mereka kembali ke pangkuan parti,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri taklimat yang diadakan secara tertutup di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Kuala Lumpur semalam.

Antara yang hadir Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan dan dua Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Datuk Seri Mahdzir Khalid tetapi Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak kelihatan.

Dalam masa sama, sumber memaklumkan, Presiden Umno berkata, parti itu akan menggunakan logo Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) membabitkan enam negeri.

Selain itu, kata sumber itu lagi, Ahmad Zahid sekali lagi menegaskan tiada kluster atau mewakili puak tertentu dalam Umno sebaliknya hanya satu pasukan iaitu Kluster Kabinet yang memperjuangkan parti dan rakyat.

“Antara agenda lain disentuh adalah kronologi dan tujuan Umno bersama Pakatan Harapan di bawah kerajaan perpaduan,” katanya.

Sementara itu, turut difahamkan terdapat perwakilan beberapa bahagian tidak hadir kerana tidak berpuas hati dengan pucuk kepimpinan parti yang dilihat mahu mengekalkan kuasa tanpa ada pertandingan parti. – Malaysiapost

Komen