Acara naikkan bendera dahului perasmian PAU 2022

Acara naikkan bendera dahului perasmian PAU 2022

PERHIMPUNAN Agung Umno (PAU) 2022 dimulakan dengan acara menaikkan bendera Umno di Plaza Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.

Upacara menaikkan bendera Umno yang menjadi simbolik perasmian perhimpunan dimulakan oleh Ketua Pergerakan Wanita, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad diikuti Ketua Pemuda, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua Puteri, Datuk Zahida Zarik Khan dengan latar belakang lagu pergerakan masing-masing.

Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menaikkan bendera Umno ‘Sang Saka Bangsa’ jam 8.15 pagi dengan diiringi nyanyian lagu Umno, ‘Bersatu, Bersetia, Berkhidmat’ oleh perwakilan yang hadir menyaksikan acara itu.

Turut hadir, Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Hadir sama Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Naib Presiden Umno bersama Datuk Seri Mahdzir Khalid dan serta Setiausaha Agung parti Datuk Seri Ahmad Maslan.

Perhimpunan kali ini yang disertai  5,523 perwakilan diadakan selama empat hari bermula Rabu.

Jumlah itu melibatkan seramai 2,648 perwakilan ke Perhimpunan Agung Umno, Wanita (950), Pemuda (967) dan Puteri (958). – Malaysiapost

Komen