Ahmad Maslan beri 5 sebab BN kalah teruk PRU15

Ahmad Maslan beri 5 sebab BN kalah teruk PRU15

SETIAUSAHA Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan merumuskan lima perkara yang terjadi sehingga Barisan Nasional (BN) kalah teruk dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

Beliau berkata, rekod sebelum PRU15 menunjukkan BN menang cemerlang termasuk tujuh Pilihan Raya Kecil (PRK) selain Pilihan Raya Negeri (PRN) di Melaka dan Johor.

“Mengapa PRU15 kita kalah? Tentu ada sesuatu perkara yang kita anggap luar biasa berlaku. Saya rumuskan lima perkara yang terjadi.

“Pertama penyalahgunaan data peribadi, anak-anak muda kita menerima handbill,  kami tahu siapa serah nombor telefon kepada mereka (parti lawan), mereka rompak nombor anak-anak kita.

“Mereka juga merasuah pengundi, belia RM150, siswa RM300, OKU RM600, pesara dihantar ke rumah RM600.

“Selain itu, pemimpin Umno dizalimi dengan pelbagai sebaran yang tidak betul, Presiden dan ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dizalimi,” katanya ketika membentangkan laporan Setiausaha Agung Umno pada Perhimpunan Agung Umno hari ini.

Tambah Ahmad, dua lagi perkara yang menyebabkan kekalahan Umno dan BN ialah anak muda dimanipulasi serta sabotaj dalam Umno sendiri.

Dalam pada itu Ahmad memaklumkan Umno kini mempunyai 3,425,893 ahli melibatkan 22,120 cawangan daripada 191 bahagian. – Malaysiapost

Komen