‘Apakah demokrasi hanya berlaku bila ada pertandingan?’ – Puad

‘Apakah demokrasi hanya berlaku bila ada pertandingan?’ – Puad

CADANGAN supaya jawatan tertinggi Umno tidak dipertandingkan tidak harus disalah tafsir sebagai menyekat proses demokrasi dalam parti itu.

Sebaliknya, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, sokongan perwakilan untuk tidak diadakan pertandingan juga adalah demokrasi.

“Apakah demokrasi hanya berlaku bila ada pertandingan? Bila majoriti perwakilan sokong tiada pertandingan, apakah itu bukan demokrasi?.

“Kegilaan ialah bila semua hilang fokus dan politik wang kembali berkuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaludin menyifatkan sokongan kepada keputusan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan dalam pemilihan Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2022 adalah satu ‘kegilaan’.

Beliau dipetik berkata, Umno seharusnya membuka ruang pertandingan dan jangan mematikan demokrasi dalam parti itu.

Mohd Puad turut menegur Khairy yang membuat kesimpulan sendiri maksud ‘ready to fight’ yang diungkapkan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai kesediaannya untuk dicabar pada pemilihan kali ini.

“Ready to fight juga ada makna lain, iaitu sedia melawan musuh habis habisan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri nanti.

“Jangan timbul waktu Pilihan Raya Umum (PRU) dan pemilihan parti sahaja tetapi membisu di waktu lain,” sindirnya.

Beliau menjelaskan tiada pertandingan bagi dua jawatan tertinggi Umno adalah keprihatinan parti mengikut keperluan semasa.

“KJ dakwa menghalang pertandingan jawatan nombor satu dan dua adalah gila. Bukankah itu keperihatinan mengikut keperluan semasa.

“Mana tahu PRN berlaku masa pemilihan parti,” katanya. – Malaysiapost

Komen