Batik Air dikenakan surat tunjuk sebab

Batik Air dikenakan surat tunjuk sebab

SURUHANJAYA Penerbangan Malaysia (Mavcom) tidak berpuas hati dengan maklumat yang diberikan Batik Air Sdn Bhd (Batik Air) berhubung gangguan komunikasi syarikat penerbangan itu pada 22 Disember tahun lalu.

Susulan itu surat tunjuk sebab telah dikeluarkan kepada syarikat penerbangan itu semalam.

Dalam satu kenyataan hari ini, Mavcom telah mengarahkan Batik Air mengemukakan representasi secara bertulis mengenai kelewatan penerbangan OD 7634 dari Kuala Lumpur (KL) ke Kuching.

Penerbangan itu dijadual berlepas dari KL ke Kuching pada 11.35 malam, 22 Disember 2022 tetapi ditangguhkan selama lapan jam dan akhirnya berlepas pada 7.45 pagi keesokan hari sehingga menjejaskan 170 penumpang.

“Batik Air telah memberikan maklumat tersebut kepada Mavcom berkaitan gangguan penerbangan OD 7634 dari KL ke Kuching.

“Walau bagaimanapun, Mavcom mendapati bahwa bukti untuk mengesahkan sekiranya Batik Air telah mengambil semua langkah-langkah pemakluman berkenaan gangguan penerbangan kepada pengguna yang terjejas pada hari tersebut adalah tidak mencukupi,” katanya.

Mavcom menegaskan adalah kewajipannya memastikan penyiasatan yang objektif dan mendalam dijalankan sebelum sebarang tindakan penguatkuasaan dilaksanakan.

“Oleh itu Suruhanjaya perlu mengesahkan semua maklumat daripada syarikat penerbangan dan pengguna yang terjejas untuk memastikan tindakan seterusnya adalah wajar.

“Syarikat penerbangan boleh dikenakan penalti kewangan tidak lebih RM200,000 untuk kesalahan pertama dan 10 kali ganda amaun penalti untuk ketidakpatuhan kedua atau seterusnya,” katanya.

Sementara itu, siasatan Mavcom berhubung pembatalan penerbangan D7 219 oleh AirAsia X Bhd dari Melbourne ke KL pada 2 Januari lalu pula, mendedahkan bahawa semua pengguna terjejas telah dimaklumkan mengenainya.

“Berdasarkan laporan dan bukti yang diperoleh daripada AirAsia X serta pengguna yang terlibat, syarikat penerbangan itu telah memaklumkan gangguan penerbangan kepada pengguna yang terjejas dan menawarkan opsyen bagi menempah semula penerbangan mereka dari Melbourne ke KL bermula 1 Jan 2023 hingga 31 Dis 2023, tertakluk kepada ketersediaan.

“AirAsia X juga telah dapat mengagihkan semula pengguna penerbangan D7 219 lain yang terjejas dalam penerbangan antara 3 Jan dan 7 Jan 2023,” katanya. – Malaysiapost

Komen