Biar perwakilan tentukan pemilihan Presiden, Timbalan – Zahid

Biar perwakilan tentukan pemilihan Presiden, Timbalan – Zahid

PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyerahkan kepada perwakilan membuat keputusan sama ada dua jawatan utama parti akan dipertandingkan pada pemilihan akan datang.

Beliau menegaskan, sebagai seorang yang yakin kepada proses demokrasi keputusan berkenaan akan ditentukan oleh perwakilan.

“Saya yakin ahli parti mampu menilai yang mana kaca dan permata. Yang mana pepat di luar, rencong di dalam. Bak kata orang muda, yang mana ori yang mana fake,” katanya dalam Ucapan Dasar Presiden pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) hari ini.

Pertandingan jawatan Presiden dan Timbalannya menimbulkan polemik apabila pemimpin parti mempunyai pandangan berbeza sama ada ia perlu dipertandingkan atau tidak.

Semalam, Khairy Jamaluddin yakin Zahid seorang pejuang dan tidak gentar menghadapi pencabar untuk merebut jawatan Presiden parti itu.

Dalam ucapan sama, Ahmad Zahid menafikan tuduhan kononnya Presiden bertindak bersendirian dalam soal pemilihan calon Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang lalu.

“Tidak adil juga tuduhan kononnya dalam soal pemilihan calon, Presiden bertindak bersendirian.  Daripada 119 calon Umno, hanya enam sahaja yang bertukar di saat akhir,  atas beberapa pertimbangan.

“Bakinya 113, adalah hasil rundingan dengan Pengerusi Perhubungan Negeri bersama Top Five,” katanya.

Beliau menyentuh dua perkara utama itu bagi meleraikan segala nista dan cacian yang dilemparkan kepada parti, khususnya terhadapnya secara peribadi.

“Apakah dengan usaha yang membabitkan semua struktur kepimpinan parti, boleh dijadikan alasan kononnya saya mengecilkan peluang kemenangan?.

“Apakah dengan menampilkan muka-muka baharu, sebagai satu proses pembaharuan dalaman parti juga, adalah satu langkah mengecilkan peluang kemenangan? Atau apakah mengurangkan persepsi Umno adalah parti ‘warlord’ juga boleh ditafsir sebagai langkah mengecilkan peluang kemenangan parti?” katanya.

Beliau berkata, jika kesilapan percaturan menyebabkan ramai muka baharu tewas pada PRU15, hakikat sebenarnya muka lama dengan nama besar juga tewas.

“Saya sendiri ditentang oleh tokoh dari PKR di (Parlimen) Bagan Datuk. Apakah ini bermakna, saya ada perjanjian sulit dengan Pakatan Harapan (PH)?

“Apakah saya sendiri mahu mengecilkan peluang kemenangan saya di Bagan Datuk? Saya kira dengan iman yang ada, tepuk dada tanya iman,” katanya. – Malaysiapost

Komen