BN fail petisyen cabar keputusan PRU-15

BN fail petisyen cabar keputusan PRU-15

BARISAN Nasional (BN) akan memfailkan petisyen pilihan raya di beberapa kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN), khususnya di kerusi dimenangi Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang lalu.

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata sejumlah kerusi berkenaan sudah dikenal pasti dan perincian mengenai petisyen itu akan dimaklumkan dalam masa terdekat.

“Memang ada beberapa kawasan yang kita akan failkan. Nanti kita akan umumkan.

“Apabila kita fail (petisyen tersebut), tentutnya ada asas-asas mengapa kita memfailkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika melawat Laman Media Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2022 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, hari ini.

Zambry yang juga Menteri Luar menambah, petisyen tersebut difailkan di kerusi yang dimenangi oleh pelbagai parti dan tidak menolak ia melibatkan kerusi yang dimenangi oleh Perikatan Nasional (PN).

“Jawatankuasa kita akan umumkan nanti. Kita sudah kenal pasti beberapa tempat dan secara tepatnya akan diumumkan nanti,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan wakil kepada calon BN Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah, memfailkan petisyen di Mahkamah Tinggi Kota Bharu.

Petisyen berkenaan difailkan oleh Mohd Azmi Mahmood pada 3 Januari lalu.

Petisyen berkenaan difailkan bagi mencabar keputusan PRU-15 bagi kerusi Parlimen Gua Musang yang didakwa berlaku politik wang.

Pada PRU-15 lalu, Tengku Razaleigh atau lebih dikenali dengan panggilan Ku Li, tewas kerusi Parlimen Gua Musang tewas mengejut kepada calon Pas, Datuk Mohd Azizi Abu Naim dengan majoriti tipis 163 undi. – Malaysiapost

Komen