Dewan gamat jeritan ‘setuju’

Dewan gamat jeritan ‘setuju’

Nurul Huda Abhar

PERHIMPUNAN Agung Umno (PAU) 2022 di Dewan Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur hari ini, gamat dengan tepukan selepas usul jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan dalam pemilihan parti tidak lama lagi dicadangkan.

Tepukan gemuruh beserta jeritan “setuju” bergema selepas perwakilan Parlimen Rembau, Mohd Shukri Samsudin mencadangkan usul berkenaan untuk dibahaskan.

Malah, kelihatan hampir separuh daripada perwakilan dalam dewan tersebut bangun sebagai tanda setuju.

Reaksi tersebut membawa mesej bahawa majoriti menyokong bahawa Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Mohamad Hasan dikekalkan sebagai Presiden dan Timbalan Presiden Umno.

Sebelum ini, spekulasi berkenaan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan dalam pemilihan kali ini menjadi perbualan selepas diutarakan cadangan tersebut oleh 140 Ketua Bahagian Umno.

Mereka menyatakan solidariti agar jawatan presiden yang kini disandang Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak dipertandingkan pada pemilihan parti yang dijangka Mei nanti.

Bagaimanapun, kenyataan bekas Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin menegaskan agar ruang pertandingan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden dibuka untuk pemilihan.

Katanya, ruang pemilihan dua jawatan itu perlu dibuka dan tidak mematikan konsep demokrasi dalam Umno. – Malaysiapost

Komen