Dirgahayu Tuanku

Dirgahayu Tuanku

YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, berkenan berangkat ke Majlis Bacaan Yasin dan Doa Selamat di Surau Utama Istana Negara, malam tadi.

Dalam satu hantaran di Facebook rasmi Istana Negara, memaklumkan majlis berkenaan dianjurkan bersempena ulang tahun keempat Seri Paduka Baginda menaiki takhta sebagai Sultan dan Raja Pemerintah bagi negeri Pahang serta jajahan takluknya.

“Turut hadir, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama isteri Datuk Seri Wan Azizah Ismail, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, Yang di-Pertua Dewan Negara Tan Sri Dr Rais Yatim, Yang di-Pertua Dewan Rakyat Datuk Johari Abdul dan beberapa Menteri Kabinet.

“Hadir sama, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan barisan Exco kerajaan negeri Pahang.

“Paduka-paduka anakanda Seri Paduka Baginda berdua dan kerabat-kerabat Diraja Pahang turut berangkat ke majlis tersebut yang dimulai dengan solat Maghrib berjemaah,” menurut Istana Negara.

Sementara itu Perdana Menteri, mendoakan Seri Paduka Baginda berdua sentiasa dilimpahi rahmat dan hidayah Allah SWT serta berada dalam keadaan sihat, sejahtera dan penuh kedaulatan.

“Patik dan sekalian rakyat akan terus memberikan ketaatan dan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi. Dirgahayu Tuanku,” katanya. – Malaysiapost

Komen