Esok penentu jawatan utama Umno dipertanding

Esok penentu jawatan utama Umno dipertanding

KEPUTUSAN sama ada jawatan Presiden dan Timbalan Presiden Umno akan dipertandingkan atau tidak, dijangka diketahui selepas perwakilan selesai membahaskannya dalam Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2022 yang bersambung esok.

Ketua Penerangan Umno Isham Jalil, berkata usul itu dicadangkan perwakilan hari ini iaitu wakil Wanita Umno Negeri Sembilan disokong Terengganu serta perwakilan beberapa negeri lain termasuk Selangor dan Pulau Pinang.

Menurutnya, perwakilan yang akan membuat keputusan mengenai perkara itu dan Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi juga telah menyatakan ia tidak diputuskan oleh Majlis Tertinggi tetapi diserahkan kepada perwakilan.

“Maka hari ini ada negeri yang membawa usul itu, jadi kita serah kepada perwakilan dan ia masih dalam perbahasan,” katanya dalam sidang media di Laman Media PAU 2022 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau berkata, Umno juga tidak meminda perlembagaan parti berhubung perkara itu dan tidak menghalang mana-mana ahli untuk bertanding.

“Usul ini adalah persetujuan dalam dewan (PAU) seperti mana usul tidak bekerjasama dengan Bersatu sebelum ini.

“Kalau esok selepas semua perwakilan mencapai persetujuan, maka itulah persetujuannya daripada perwakilan dan akar umbi Umno dalam Dewan Merdeka.

“Buat masa ini biar perwakilan bahas dulu, banyak lagi untuk kita dengar (bahas)..esok ada wakil Johor dan negeri lain akan bahas. Tapi bukan usul itu sahaja, ada dua tiga usul lain yang dibawa,” katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai tarikh sebenar pemilihan Umno akan diadakan, Isham memaklumkan setakat perkara itu belum dibincangkan dan Umno ada kira-kira tiga bulan untuk melaksanakannya.

“Kita perlu membuat pemilihan ini sebelum 19 Mei 2023 iaitu enam bulan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang diadakan pada 19 November lalu,” katanya.

Isham berkata, belum ada mana-mana individu yang mengumumkan mahu bertanding dua jawatan tertinggi parti setakat ini.

Beliau sekali lagi meminta individu yang mahu mencabar jawatan itu supaya memaklumkan perkara itu lebih awal demi keadilan semua pihak. – Malaysiapost

Komen