Jika ada pemilihan, saya sedia bertanding – Hishammuddin

Jika ada pemilihan, saya sedia bertanding – Hishammuddin

KETUA Umno Bahagian Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein memaklumkan kesediaannya untuk bertanding salah satu jawatan utama dalam pemilihan parti yang dijangka berlangsung Mei ini.

Bekas Menteri Kanan Pertahanan itu berkata kesediaannya bergantung kepada keputusan Umno sama ada akan mengadakan pemilihan bagi dua jawatan tertinggi parti itu iaitu presiden dan timbalan presiden.

“Kita kena tunggu Perhimpunan Agung Umno kali ini, dan kalau keputusan PAU ada pemilihan, saya sendiri tidak keberatan untuk memikirkan untuk bertanding dalam pemilihan akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2022 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) hari ini.

Mengulas berkenaan jawatan yang beliau dijangka bertanding, Hishammuddin tidak memberi perincian lanjut dan mahu menunggu keputusan pemilihan itu diputuskan dalam mesyuarat PAU.

“Kena tunggu ada pertandingan atau tidak,” katanya lagi.

Sementara itu, Ahli Parlimen Sembrong itu
mengingatkan perwakilan parti supaya tidak menjadikan PAU 2022 sebagai platform perbalahan.

Katanya, ia kerana rakyat sudah muak dan bosan dengan cara orang Umno. menguruskan krisis dalaman dengan menggunakan pendekatan negatif.

“Saya nak ingatkan semua pihak, orang ramai di luar sana sudah muak dan mual, bosan dengan cara kita berbalah, bertelagah, menuduh sesama kita.

“Saya harap apa yang kita bincangkan dalam PAU tahun ini mengenai hala tuju dan cara bagaimana dapat mengurangkan jurang kepercayaan orang ramai terhadap parti dan perjuangan.

“Itu lebih baik daripada hanya menggunakan platform ini untuk bercakaran berbalah sesama kita, tuduh menuduh sesama kita, serang menyerang sesama kita. Sedarlah cukup-cukuplah,” katanya.

Sebelum ini, spekulasi berkenaan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan dalam pemilihan kali ini menjadi perbualan selepas diutarakan cadangan tersebut oleh 140 Ketua Bahagian Umno.

Mereka menyatakan solidariti agar jawatan presiden yang kini disandang Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak dipertandingkan pada pemilihan PAU yang dijangka Mei nanti. – Malaysiapost

Komen