Jurugambar kena scam, rugi RM38,200

Jurugambar kena scam, rugi RM38,200

Ben Ibrahim

SEORANG jurugambar mengalami kerugian RM38,200 selepas ditipu suspek yang menawarkan kerja secara dalam talian.

Jurugambar itu yang menetap di Rompin mula menerima pesanan WhatsApp daripada suspek pada 7 Januari lalu, berkaitan permohonan kerja dibuat mangsa melalui laman sesawang mencari kerja terkenal.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, mangsa adalah seorang wanita berusia 26 tahun dan ditawarkan suspek untuk melakukan kerja sambilan menyemak dan memberi komen pada laman sesawang Google Map.

“Mangsa dijanjikan bayaran komisen bagi setiap semakan dan komen dibuat.

“Kerana percayakan taktik digunakan suspek, mangsa melakukan empat kali pindahan wang ke akaun diberikan suspek,” katanya dalam satu kenyataan media di Kuantan, hari ini.

Ramli berkata, mangsa hanya menyedari ditipu selepas tidak menerima sebarang komisen seperti dijanjikan.

Katanya, mangsa kemudiannya membuat laporan polis di sebuah balai polis dalam daerah Rompin mengenai kejadian itu.

“Semua transaksi dilakukan mangsa membabitkan wang simpanannya dan wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) milik ayahnya.

“Saya ingin menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati setiap kali menerima pesanan WhatsApp menawarkan kerja sambilan dengan gaji lumayan supaya tidak menjadi mangsa sindiket ini,” katanya lagi.

Menurutnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. – Malaysiapost

Komen