Keselamatan, pertahanan siber ATM dipantau sebilang masa

Keselamatan, pertahanan siber ATM dipantau sebilang masa

ASPEK keselamatan dan pertahanan siber Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sentiasa di pantau sebilang masa dalam memastikan segala ancaman yang cuba mengganggu rangkaian komunikasi pertahanan dapat ditangani sewajarnya.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang, menegaskan mengenai perkara itu susulan laporan media mendakwa kumpulan penggodam dikenali Dark Pink, menggodam sistem pertahanan beberapa negara termasuk Malaysia.

Menurutnya, laporan media berkenaan menyatakan kumpulan penggodam baharu itu menggunakan e-mel pancingan data dan perisian lanjutan untuk menjejaskan pertahanan tentera di Filipina dan Malaysia, serta organisasi kerajaan di Kemboja, Indonesia dan Bosnia-Herzegovina.

“Dalam situasi ini, modus operandi yang dikesan adalah penggodam melaksanakan e-mel pancingan dengan cubaan serangan secara rawak ke rangkaian e-mel rasmi yang digunakan oleh beberapa agensi di Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Walau bagaimanapun, aktiviti penggodam telah dikesan awal dan tindakan pencegahan telah dilaksanakan sewajarnya. Pada masa kini, keseluruhan rangkaian komunikasi ATM yang terdedah kepada capaian internet didapati kekal selamat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tegasnya, ATM sentiasa memantau dan mempertingkatkan aspek keselamatan siber dari semasa ke semasa sebagai langkah menangani apa jua kemungkinan tindak balas serangan siber oleh anasir-anasir asing yang boleh mengganggu pengoperasian sistem siber dan teknologi maklumat (ICT) ATM serta Kementerian Pertahanan.

“Segala tindakan yang diambil adalah bagi mencegah seterusnya mematahkan modus operandi dan penggunaan teknologi semasa oleh penggodam yang sentiasa menjadi ancaman bukan sahaja di rangkaian pemantauan dan pertahanan komunikasi ATM malah rangkaian komunikasi strategik pertahanan negara,” katanya.

Terdahulu media melaporkan berlaku kempen penggodaman yang disyaki dikaitkan dengan kerajaan Asia menggodam tujuh sasaran berprofil tinggi di Asia Tenggara dan Eropah, termasuk agensi kerajaan dan tentera, menurut firma keselamatan siber Group-IB.

Kumpulan penggodam merancang untuk menjejaskan pertahanan cawangan tentera di Filipina dan Malaysia, serta organisasi kerajaan di Kemboja, Indonesia dan Bosnia-Herzegovina, yang bermula sejak September hingga Disember tahun lalu.

Menurut Group-IB yang berpangkalan di Singapura, penggodam itu juga menyasarkan beberapa organisasi lain membabitkan sebuah pertubuhan bukan berasaskan keuntungan, pertubuhan agama dan agensi pembangunan negara Eropah yang berpangkalan di Vietnam, kata laporan itu yang diterbitkan baru-baru ini. – Malaysiapost

Komen