Masalah keluarga, 6 lelaki ditahan kerana bergaduh

Masalah keluarga, 6 lelaki ditahan kerana bergaduh

POLIS menahan enam suspek yang dipercayai terbabit dalam kes pergaduhan di hadapan Klinik Kesihatan Taiping, yang turut tular di media sosial sejak pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Taiping Asisten Komisioner Razlam Ab Hamid, berkata pihaknya mengesan video berkaitan pergaduhan itu dan hasil semakan mendapati kejadian berlaku pada Rabu lalu.

Menurutnya, kejadian membabitkan seorang lelaki berusia 48 tahun yang dipercayai dipukul sekumpulan lelaki lain.

“Polis telah membuat laporan maklumat pertama berkaitan kejadian itu pada hari sama dan telah mengambil tindakan segera bagi mengesan kesemua individu yang terbabit.

“Berdasarkan maklumat dan risikan, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping berjaya menahan enam suspek semalam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kesemua suspek adalah berusia antara 19 tahun hingga 37 tahun dan polis turut merampas rotan serta kayu yang disyaki digunakan dalam pergaduhan berkenaan.

“Hasil soal siasat yang dijalankan terhadap suspek dan mangsa, kejadian pergaduhan itu berpunca daripada masalah keluarga.

“Semakan mendapati dua daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau dan kesemua suspek kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan yang dibuat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan,” katanya.

Razlam menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi serta menularkan video kejadian memandangkan kes berkenaan masih dalam siasatan serta mengelak daripada mendatangkan kebimbangan terhadap orang ramai.

Terdahulu tukar video berdurasi 48 saat memaparkan sekumpulan individu mengejar seorang lelaki dan membelasahnya sebaik mangsa jatuh ditengah jalan raya. – Malaysiapot

Komen