PKR mulakan kempen PRN esok – Rafizi Ramli

PKR mulakan kempen PRN esok – Rafizi Ramli

KEMPEN Pilihan Raya Negeri (PRN) PKR membabitkan enam negeri iaitu Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu akan bermula esok.

Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli, berkata kempen berkenaan akan dimulakan dengan penganjuran Konvensyen Pilihanraya di setiap negeri terbabit.

“Konvensyen Pilihanraya Selangor, Pulau Pinang dan Kedah akan diadakan pada 14 Januari 2023, sementara Konvensyen Pilihanraya Negeri Sembilan pada hari seterusnya 15 Januari 2023.

“Konvensyen Pilihanraya Kelantan dan Terengganu akan diadakan pada 21 Januari 2023. Saya akan melancarkan konvensyen pilihanraya negeri-negeri ini,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini

Beliau turut memuat naik maklumat lanjut mengenai setiap konvensyen pilihan raya negeri berkenaan dalam hantaran itu.

“Saya telah memaklumkan jentera parti untuk meneruskan kempen di atas platform parti (sebagai Keadilan dan Pakatan Harapan) untuk mengelakkan penggunaan jentera dan sumber kerajaan dalam pilihan raya ini.

“Saya akan berkempen dalam siri jelajah yang menggunakan trak (seperti sebelum menjadi Kerajaan Persekutuan) bermula Februari 2023,” katanya.

Rafizi menjemput seramai mana ahli PKR dan sukarelawan untuk hadir ke konvensyen-konvensyen pilihan raya negeri yang dijadualkan pada 14, 15 dan 21 Januari ini. – Malaysiapost

Komen