PM ucap tahniah Sudha Devi

PM ucap tahniah Sudha Devi

PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Datuk Sudha Devi KR Vasudevan atas pelantikannya sebagai Pengerusi Yayasan Komanwel untuk penggal dua tahun mulai 1 Januari lalu.

Menurutnya, pelantikan itu telah menerima sokongan secara konsensus dari kesemua 56 negara anggota Komanwel.

“Beliau merupakan rakyat Malaysia dan wakil benua Asia pertama yang memegang jawatan sebagai Pengerusi sejak penubuhan yayasan tersebut pada tahun 1966.

“Tahniah, Datuk Sudha Devi!” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Wisma Putra dalam satu kenyataan Selasa lalu, memaklumkan pelantikan semula bekas Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Australia itu.

Beliau kali pertama dipilih mengetuai Yayasan Komanwel pada 2020 melalui pemilihan yang berlangsung di London dan menjadi orang Asia pertama dipilih sebagai Pengerusi sejak penubuhan yayasan itu pada 1966.

Yayasan Komanwel ditubuhkan untuk menyokong dan mengukuhkan penyertaan rakyat, terutama melalui Pertubuhan Masyarakat Sivil (CSO) dalam membangunkan masyarakat demokratik. – Malaysiapost

Komen