Shahrir buat laporan polis terhadap Tommy Thomas

Shahrir buat laporan polis terhadap Tommy Thomas

BEKAS Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Abd Samad membuat laporan polis terhadap bekas Peguam Negara ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH) di bawah Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Tommy Thomas, hari ini.

Laporan berkenaan dibuatnya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi mengenai salah guna kuasa bekas Peguam Negara berkenaan.

“Tommy Thomas telah memberi izin untuk saya didakwa pada 21 Januari 2020 di atas tuduhan pengubahan wang haram (AMLA) kerana saya tidak mengistiharkan penerimaan RM1 juta dari Datuk Seri Najib Razak sebagai pendapatan saya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

“Siasatan terhadap saya tidak lengkap. Ini telah dinyatakan oleh Pegawai Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam perbicaraan.

“Namun, Tommy Thomas tetap memberi izin untuk saya didakwa di mahkamah,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Veteran Umno yang juga bekas Ahli Parlimen Johor Bahru itu berkata, dakwaan tanpa siasatan lengkap berkenaan adalah salah guna kuasa dan ‘malicious prosecution’ atau pendakwaan berniat jahat.

“Saya membuat laporan polis ini supaya polis boleh menyiasat kelakuan salah guna kuasa ini di bawah undang-undang yang sedia ada.

“Terima kasih kepada pemimpin dan ahli Umno Johor Bahru termasuk pemilik rumah Seri Anugerah kerana hadir bersama memberi sokongan moral kepada saya di IPD Dang Wangi,” katanya.

Minggu lalu, Shahrir dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur daripada pertuduhan gagal mengisytihar wang RM1 juta diterima daripada Najib yang juga Perdana Menteri ketika itu.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin membuat keputusan itu selepas mendengar permohonan pihak pendakwaan dan pembelaan bekas Pengerusi Felda itu.

Timbalan Pendakwa Raya Rasyidah Murni Azmi memaklumkan pihak pendakwaan tidak berhasrat untuk meneruskan kes terhadap beliau pada masa datang.

Mahkamah mengguna pakai Seksyen 254(3) Kanun Tatacara Jenayah ketika membebaskan Shahrir selain terikat dengan keputusan Mahkamah Persekutuan yang dirujuk oleh pihak pembelaan. – Malaysiapost

Komen