Shahrir sindir KJ pun setuju Umno sertai kerajaan perpaduan

Shahrir sindir KJ pun setuju Umno sertai kerajaan perpaduan

VETERAN Umno, Tan Sri Shahrir Abd Samad menyindir Timbalan Ketua Umno Rembau, Khairy Jamaluddin yang bersetuju dengan penyertaan Umno dalam kerajaan perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurutnya, jika Khairy yang dijangka bertanding jawatan Presiden dalam pemilihan Umno akan datang berpendirian demikian, maka sewajarnya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dicabar kumpulan lain.

“Apabila satu kumpulan pencabar pun sudah bersetuju dengan penyertaan Umno dalam kerajaan perpaduan pimpinan Anwar, maka yang sebenarnya dipertandingkan ialah untuk mengisi jawatan-jawatan dalam kerajaan itu.

“Simple kan. Kita tunggu pula kumpulan pencabar yang lain. Dengan pemikiran yang lain pula,” katanya sinis menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

Beliau turut berkongsi tangkap layar laporan berita bahawa Khairy atau sekutunya tetap menyokong Anwar dan kerajaan perpaduan jika menjadi Presiden Umno pada pemilihan parti yang dijangka pertengahan tahun ini.

Ketika ini Umno telah pun menyokong Anwar dan kerajaan perpaduan dengan Ahmad Zahid dilantik Timbalan Perdana Menteri.

Semalam Khairy dilaporkan berkata Ahmad Zahid sedia dicabar bagi jawatan Presiden pada pemilihan yang akan datang.

Khairy berkata, kesediaan itu dimaklumkan Ahmad Zahid ketika mereka terserempak semasa menghadiri Perhimpunan Agung Wanita Umno di Pusat Dagangan Dunia (WTC) semalam.

“Alhamdulillah pagi tadi (semalam) saya bertembung dengan Presiden Umno. Sambil saya salam beliau, beliau sebut ready to fight.

“Maknanya beliau sedia untuk berdepan sebarang cabaran dalam pemilihan parti. Beliau sendiri berani. Saya salute kepada beliau (kerana) tak takut,” katanya.

Justeru katanya, sebarang usaha mana-mana pihak yang mengusulkan agar jawatan Presiden tidak dipertandingkan adalah bertentangan dengan keberanian Ahmad Zahid. – Malaysiapost

Komen