Sindiket penipuan didalangi warga China tumpas

Sindiket penipuan didalangi warga China tumpas

JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) berjaya menumpaskan sindiket penipuan atas talian yang didalangi warganegara China dalam serbuan besar-besaran di Pulau Langkawi, semalam.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud, berkata serbuan di tiga lokasi berasingan sekitar Pulau Langkawi itu berjaya menahan 164 individu dipercayai ahli sindiket penipuan berkenaan.

Menurutnya, operasi dijalankan oleh sepasukan pegawai imigresen dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas Putrajaya setelah menerima maklumat dari pemimpin tempatan serta masyarakat awam.

“Berdasarkan risikan yang dijalankan selama enam bulan, JIM berjaya mengesan kegiatan sindiket berkenaan beroperasi di resort-resort yang masih belum dibuka kepada orang ramai selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir.

“Sindiket ini menjadikan resort tersebut sebagai pusat operasi dan juga tempat untuk melatih anggota-anggota baru untuk dijadikan sebagai operator bagi kegiatan atas talian berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, sindiket didalangi warga China itu turut merekrut warga tempatan untuk menjalankan kegiatan penipuan dan sindiket ini juga didapati berpindah dari satu tempat ke tempat lain untuk tempoh antara 3 minggu hingga sebulan.

“Seramai 30 orang warganegara asing terdiri daripada warganegara China seramai 27 orang, Thailand (dua), Myammar (seorang) orang dan warganegara Malaysia seramai 134 orang berusia 18 hingga 35 tahun telah ditahan.

“Serbuan juga turut merampas 756 telefon bimbit, 150 komputer dan komputer riba serta pelbagai peralatan elektronik lain yang digunakan dalam kegiatan tersebut,” katanya.

Menurutnya, 17 pasport warganegara China turut dirampas dan semakan mendapati mereka menggunakan pasport baharu yang tidak mempunyai rekod perjalanan, selain masuk menggunakan pas rawatan perubatan dan selebihnya tiada dokumen.

“Hasil siasatan awal terhadap rakyat Malaysia yang ditahan dalam operasi ini mendapati mereka dibayar sehingga RM3,000 sebulan dan komisyen sebanyak RM15 bagi setiap orang yang berjaya di rekrut.

“Kos operasi sindiket dianggarkan sebanyak RM800,000 sebulan yang terdiri daripada gaji bulanan, kos penginapan, sewa dewan dan pelbagai kemudahan lain. Sindiket ini dipercayai telah beroperasi hampir setahun,” katanya.

Khairul Dzaimee berkata, semua maklumat berkaitan dengan sindiket penipuan itu akan dikongsi dengan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan-tindakan berkaitan.

“Semua warganegara China yang ditahan disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Pasport 1966. Warganegara Malaysia berkenaan juga akan ditahan untuk siasatan lanjut.

“JIM berterima kasih kepada orang ramai yang telah memberi kerjasama sehingga sindiket ini dapat ditumpaskan,” katanya. – Malaysiapost

Komen