Tubuh segera Majlis Ulama Umno – Zahid

Tubuh segera Majlis Ulama Umno – Zahid

DATUK Seri Ahmad Zahid Hamidi mahu Umno segera menubuhkan Majlis Ulama sebagai pembaharuan bagi menghadapi senario politik baharu.

Presiden Umno itu ketika menyampaikan ucapan dasar Perhimpunan Agung Umno 2022 (PAU2022) berkata kerjasama antara umara dan ulama mesti dijalinkan.

“Kita juga perlu mendekati kumpulan-kumpulan ulama yang saya percaya di luar sana bersedia untuk bersama dengan kita.

“Kita mesti terjemahkan usul pembaharuan yang telah kita bincangkan beberapa ketika yang lalu, Majlis Ulama Umno mesti diterjemahkan dengan segera,” katanya.

Ahmad Zahid berkata ia adalah cadangan tambahan kepada pembaharuan yang perlu dilakukan oleh Umno.

Dalam pada itu Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata Umno mahu menjalin kerjasama strategik dengan mewujudkan persefahaman dengan rakan-rakan parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam mendepani realiti politik baharu.

Melalui pendekatan itu, katanya, Umno mahu melebarkan jaringannya kerana realitinya mereka tidak boleh bersendirian.

“Umno berpendirian Barisan Nasional (BN) perlu diberikan nafas baru dengan sifat keterangkuman. 

“Umno perlu menjadi wadah kepada pertubuhan-pertubuhan Melayu bukan kerjaan sebagai rakan sekutu,” katanya. – Malaysiapost

Komen