Umno dikhianati ahli sendiri ‘sebelum subuh’ lagi – Zahid

Umno dikhianati ahli sendiri ‘sebelum subuh’ lagi – Zahid

UMNO dikhianati oleh ahli parti sendiri ketika Kerajaan Perpaduan cuba dibentuk atas titah Yang di-Pertuan Agong susulan tiada parti yang mempunyai majoriti selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, lebih menyedihkan lagi pengkhianatan itu diaturkan ahli parti itu sendiri ‘sebelum subuh’.

Beliau berkata, sebelum itu Umno berunding secara berasingan dengan dua gabungan lain iaitu Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) dengan meletakkan beberapa syarat.

Menurutnya, PH dalam responnya secara bertulis menyatakan persetujuan terhadap perkara-perkara asas utama yang perlu disepakati, namun PN hanya memaklumkan akan mempertimbangkan perkara yang diusulkan.

“Pada masa sama, PN telah menolak penubuhan Kerajaan Perpaduan kerana mempunyai akuan bersumpah yang mencukupi untuk membentuk kerajaan.

“Rupa-rupanya akuan bersumpah ini termasuk 10 daripada wakil Barisan Nasional (BN) yang telah memenangi kerusi Parlimen pada PRU15, tanpa merujuk kepada parti,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini, hari ini.

Ahmad Zahid menegaskan faktor itu menyebabkan BN tidak boleh bersama PN membentuk Kerajaan Perpaduan.

“Belum pun subuh, pengkhianatan telah dibuat terhadap parti kita. Lebih menyedihkan, ia diatur oleh orang kita sendiri.

“Sedangkan kita telah ada dokumen perjanjian dan akuan bersumpah serta akujanji, kerusi yang dimenangi adalah hak mutlak parti.

“Atas sebab itu, kita berbincang dan bersetuju, untuk membentuk kerajaan bersama PH dengan rakan-rakan dari Sabah dan Sarawak,” katanya.

Apabila keputusan dicapai, Ahmad Zahid berkata, muncul pula suara-suara dalaman yang mengkritik keputusan parti yang mengatakan ‘No Anwar, No DAP’, namun mereka tidak pula menyatakan keputusan ‘No Bersatu’.

“Dibangkitkan lagi tuduhan kita melanggar keputusan Perhimpunan Agung yang telah menyatakan No Anwar, No DAP.

“Namun sebagai sebuah parti berperlembagaan, kita membuat keputusan sesuai dengan Perlembagaan Umno,” katanya. – Malaysiapost

Komen