Umno tuntut audit forensik kenal pasti ketirisan kerajaan PN

Umno tuntut audit forensik kenal pasti ketirisan kerajaan PN

UMNO menuntut supaya audit forensik dilakukan terhadap kerajaan diterajui Perikatan Nasional (PN) sebelum ini bagi memastikan ketirisan yang berlaku dapat ditampung segera.

Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata agensi penguatkuasaan perlu mengambil tanggungjawab itu kerana ia adalah harapan rakyat dan menjadi kewajipan kerajaan untuk menunaikannya.

“Kita mendengar desakan dan tuntutan agar audit forensik terhadap perjalanan kerajaan sebelum ini dilakukan. Ketirisan yang berlaku perlu ditampung segera. Punca ketirisan mesti disiasat,” katanya dalam ucapan dasar sempena Perhimpunan Agung Umno (PAU) hari ini.

Dengan perkembangan muktahir yang menyaksikan penahanan berhubung siasatan penyalahgunaan dana awam melebihi RM90 billion, Ahmad Zahid berkata, ia adalah satu permulaan yang baik.

“Ini adalah isyarat yang jelas akan komitmen kerajaan untuk mengenal pasti mereka yang bertanggungjawab,” katanya.

Beliau berkata, sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, Umno sependapat dengan pelbagai pandangan yang diberikan supaya soal tatakelola kerajaan mesti dijalankan dengan telus.

“Prihatin atau bersih, sama-sama kita tunggu. Apakah prihatinnya demi rakyat atau demi anak menantu? Bersihnya pula apakah kepada pulangan komisyen yang diperoleh. Sama-sama kita nantikan,” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini dilaporkan berkata, pegawai Kementerian Kewangan mengesahkan berlaku pelanggaran serius berhubung prosedur perbelanjaan hampir RM600 bilion ketika pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kemudian mengenalpasti RM92.5 bilion daripada jumlah itu yang disiasat manakala baki yang lain adalah bukan dana kerajaan. – Malaysiapost

Komen