Yusof pujuk Puteri Sarah jangan bercerai

Yusof pujuk Puteri Sarah jangan bercerai

PENERBIT popular, Datuk Yusof Haslam memujuk menantu, Puteri Sarah Liyana agar mempertimbangkan semula keputusan mahu bercerai dengan anaknya, Syamsul.

Akur pendirian dibuat Puteri Sarah seperti yang diumumkan semalam, Yusof bagaimanapun menaruh harapan agar perceraian anak dan menantunya itu tidak akan berlaku.

“Saya berbincang dengan Puteri Sarah dan memujuknya untuk mempertimbangkan keputusannya itu.

“Walaupun proses perceraian itu akan mengambil masa (jika berlaku), saya akan tetap mendoakan semoga perceraian itu tidak terjadi,” katanya seperti dipetik Berita Harian.

Sekiranya menjadi kenyataan, Yusof berkata, Syamsul perlu banyak melakukan perubahan dalam hidupnya kerana ia adalah suatu pengorbanan dan perjuangan.

Semalam, Puteri Sarah, 38, mengesahkan akan memfailkan perceraian di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur, Isnin ini.

Puteri Sarah dilaporkan berkata, dia enggan melengahkan masa dan mahu memfailkan perceraian segera.

Selain itu, katanya, keputusan untuk berpisah dibuat atas persetujuan keluarga.

Puteri Sarah juga dilaporkan mahu mencari ketenangan dan memulakan hidup baharu.

Keputusan Puteri Sarah itu juga disahkan peguam syarie, Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili pelakon filem Lu Pikirlah Sendiri de Movie itu.

Yusof berkata, sebagai orang tua, dia sentiasa mendoakan supaya ada sinar di hujung terowong di sebalik apa yang berlaku.

Bagaimanapun, jika perceraian adalah jalan terbaik dan mampu memberi ketenangan kepada Puteri Sarah, Yusof mengaku, tiada ikhtiar lain yang boleh dilakukan selain terpaksa akur dengan kehendak menantunya itu.

Kemelut rumah tangga Puteri Sarah dan Syamsul mula diperkatakan sejak empat tahun lalu.

Namun, pengarah filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan itu tidak pernah membuka mulut mengenainya.

Susulan pengakuan Syamsul berhubung pernikahan keduanya dengan Ira Kazar di Thailand serta penjelasan di sebalik kontroversi terjadi, topik terbabit hangat diperkatakan sehingga ‘trending’ dalam Twitter.

Puteri Sarah dan Syamsul mendirikan rumah tangga pada 8 Mac 2014 dan dikurniakan dua cahaya mata, Syaikul Islam yang berusia lima tahun dan Summayah, tiga tahun. – Malaysiapost

Komen