‘Beri peluang kami untuk pulihkan Umno’ – Tok Mat

‘Beri peluang kami untuk pulihkan Umno’ – Tok Mat

KEPIMPINAN tertinggi Umno perlu diberi peluang sekali lagi untuk memulihkan parti selepas tewas dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang lalu.

Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ia juga bagi meneroka dinamik politik baru bersama Kerajaan Perpaduan diterajui Pakatan Harapan (PH).

Beliau berkata, fokus utama Umno kini adalah untuk memastikan parti itu bersedia untuk menghadapi saingan dalam enam Pilihan Raya Negeri (PRN) sekali gus PRU16.

“Saya mohon kepada ahli Umno bagi parti peluang untuk menerokai dinamik politik semasa untuk kita pastikan survival (kelangsungan) parti jadi keutamaan.

“Beri peluang. Kita kalah (PRU) bukan menang. Kita masih diberikan ruang untuk dapat bersama dalam kerajaan sebab parti yang menang tak menang banyak kerusi. Jadi (mereka) bagi kami peluang. Parti lain dalam negara sudah pernah duduk bersama (dengan PH) dan kita lihat bagaimana.

“Walaupun masuk (bersama PH), kita bukan bergabung. Kita bersama untuk menguruskan negara. Kita diberi mandat untuk duduk dalam kerajaan. Kita akan sedaya upaya pertingkatkan prestasi, terutama menteri daripada Umno,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022, hari ini.

Mohamad berkata, pemimpin Umno kini memikul satu tanggungjawab besar untuk memulihkan keyakinan rakyat, khususnya ahli terhadap parti yang mesti dilakukan bersama.

“Di atas bahu saya, terpikul satu tanggungjawab. Kita tahu, kawasan yang dulu sebagai ‘fix deposit’ (simpanan tetap) dalam PRU14, tetapi ia sudah musnah (dalam PRU15).

“Jadi ini tanggungjawab saya. Sakit berpunca, mati bersebab. Apa puncanya, apa sebabnya. Kawasan yang ada kem tentera akan saya lawati. Baliklah ke kawasan kita, bina semula tembok kita yang pecah.

“Mari kita pungut batu bata yang bersepah, untuk kita bina semula benteng Umno, benteng baharu untuk kita dalam PRU16,” katanya. – Malaysiapost

Komen