Beri ruang untuk saya tadbir Sabah – Hajiji

Beri ruang untuk saya tadbir Sabah – Hajiji

KETUA Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor meminta semua pihak memberinya ruang kepadanya untuk memimpin kerajaan negeri bagi memastikan agenda pembangunan dirancang dapat diteruskan.

Beliau berkata, ia termasuk meneruskan pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (2021-2025) demi kemajuan dan kesejahteraan rakyat di negeri itu.

“Perkara yang menjadi keutamaan kerajaan negeri sekarang adalah kemajuan dan kebajikan rakyat Sabah,” katanya seperti dipetik Bernama selepas merasmikan Majlis Konvokesyen ke-2 Kolej Universiti Yayasan Sabah (UCSF) hari ini.

Rabu lalu, Hajiji mengumumkan rombakan Jemaah Menteri Kerajaan Sabah yang menyaksikan beliau melepaskan jawatan Menteri Kewangan negeri kepada Datuk Seri Masidi Manjun, dan tidak memegang sebarang portfolio lain.

Jemaah Menteri Kerajaan Sabah yang dilantik itu terdiri daripada tujuh ahli daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS), dua daripada Barisan Nasional (BN) dan dua lagi daripada Pakatan Harapan (PH).

Mengulas lanjut rombakan berkenaan, Hajiji berkata perkara itu telah dimaklumkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dilakukan demi kebaikan negeri Sabah.

Sebelum ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) BN Sabah sebulat suara menarik sokongan terhadap Hajiji dan kerajaan negeri.

Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin mengumumkan perkara itu selepas mesyuarat bersama Adun dan pimpinan Umno Sabah pada malam 6 Januari lalu.

Kemelut politik Sabah tercetus apabila ada cubaan menjatuhkan kerajaan negeri pimpinan Hajiji melalui Langkah Kinabalu atau Langkah Sutera pada 4 Januari lalu. – Malaysiapost

Komen