Dakwaan perwakilan import: Lembaga Disiplin teliti tindakan terhadap KJ

Dakwaan perwakilan import: Lembaga Disiplin teliti tindakan terhadap KJ

LEMBAGA Disiplin Umno akan meneliti tindakan terhadap Khairy Jamaluddin yang menyebarkan dakwaan palsu mengenai kewujudan ‘perwakilan import’ dalam Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2022.

Bekas Ketua Pemuda Umno itu mendakwa wujudnya usaha membawa masuk perwakilan import berkenaan bagi memastikan usul tambahan dua jawatan tertinggi Umno tidak dipertandingkan dalam pemilihan akan datang, diluluskan dalam PAU 2022.

Mengulas dakwaan itu, Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menegaskan mana-mana individu yang tidak memiliki kad akses sebagai perwakilan Umno yang sah, tidak dibenarkan masuk dalam Dewan Merdeka.

Beliau berkata, dakwaan mengatakan wujud perwakilan tidak sah dalam perhimpunan itu khususnya ketika undian usul tambahan berkenaan, telah diteliti Penasihat Undang-Undang Umno yang juga Pengerusi Lembaga Disiplin parti, Datuk Mohd Hafarizam Harun.

Sehubungan itu, beliau menyerahkan kepada Lembaga Disiplin dan Jawatankuasa Pengurusan Umno untuk meneliti tindakan terhadap Khairy kerana menyebarkan dakwaan palsu itu.

“Itu satu perkara lain yang akan dibincangkan oleh Lembaga Disiplin Umno dan akan dibawa ke Jawatankuasa Pengurusan yang dipengerusikan oleh Ketua Bahagiannya (Datuk Seri Mohamad Hasan),” katanya pada sidang media selepas selesai PAU 2022 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) hari ini.

Terdahulu, Khairy yang juga Timbalan Ketua Umno Bahagian Rembau mendakwa tanda pada kerusi dalam Dewan Merdeka yang dikhaskan untuk perwakilan Umno sudah ditanggalkan sebagai usaha membawa masuk ‘perwakilan import’ bagi meluluskan usul tambahan berkenaan.

Khairy turut memuat naik satu video mengenai ‘perwakilan import’ menerusi Instagram, menunjukkan sekumpulan individu berbaju Melayu diberi taklimat dalam satu bilik khas di WTC Kuala Lumpur,

Video itu diiringi kapsyen: “Perwakilan ‘import’ diberi taklimat sebelum masuk Dewan Merdeka untuk menyokong usul ‘no contest’ (tiada pertandingan). – Malaysiapost

Komen