‘Dendam Pelayar’ cenderahati wajib dibawa pulang dari PAU 2022

‘Dendam Pelayar’ cenderahati wajib dibawa pulang dari PAU 2022

Najamuddin Mohd Nor

TANJAK antara ‘cenderahati’ yang menarik perhatian dan mendapat sambutan terutama kepada perwakilan dan ahli Umno yang menghadiri Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2022 kali ini.

Aksesori kehormatan bangsa Melayu itu, apatah lagi bagi Umno yang mewakili suara orang Melayu sejak sekian lama, menjadi antara buah tangan yang perlu dibawa balik sebagai tanda kenang-kenangan atau untuk dipakai pada majlis bersesuaian.

Bagi peniaga tanjak, Shafirol Mat Taha, 35, ketika ditemui Malaysiapost di pekarangan bangunan Pusat Dagangan Dunia (WTC), melahirkan rasa bersyukur kerana jualan tanjak mendapat sambutan ahli Umno yang hadir ke PAU 2022 kali ini.

Shafirol Mat Taha, peniaga tanjak di PAU 2022

“Saya berniaga sejak semalam, dan hari ini hari kedua berniaga. Alhamdulillah sambutan amat menggalakkan. Semalam sahaja hampir 50 tanjak telah terjual.

“Hari ini saya harap jualan tanjak habis terjual memandangkan hari ini hari kemuncak PAU 2022,” katanya.

Mengenai jenis tanjak yang dijual, Shafirol menjelaskan, dia banyak menjual tanjak jenis ‘dendam pelayar’, berwarna merah dan mempunyai logo Umno bagi menarik perwakilan atau ahli Umno membelinya.

“Dendam Pelayar ni jenis tanjak yang biasa dan untuk dipakai orang kebanyakan.

“Kali ini tanjak ini ditampil khas untuk PAU 2022, berwarna merah dengan corak cantik dan ada serta logo Umno.

“Nampaknya, ramai yang suka dan membeli tanjak ini, mungkin untuk cenderahati atau untuk kenang-kenangan,” katanya.

Sahfirol berkata, kebiasaannya dia menjual tanjak jenis ‘Dendam Pelayar’ ini dengam harga RM40, namun untuk PAU 2022 dia menjualkan harga yang lebih murah iaitu RM30 sahaja.

“Ini harga istimewa yang hanya terdapat di PAU 2022 sahaja. Kita kalau boleh nak semua ahli Umno beli tanjak ini supaya budaya pakaian orang Melayu ini terus subur dan tidak ditelan zaman.

“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada penganjur PAU khususnya Umno Malaysia kerana memberi peluang kepada saya dan peniaga lain menambah pendapatan dengan berniaga di sini,” katanya. – Malaysiapost

Komen