Indera Mahkota tetap jadi Kota Ekonomi Digital

Indera Mahkota tetap jadi Kota Ekonomi Digital

Ben Ibrahim

AHLI Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah komited meneruskan agenda menjadikan kawasan itu sebagai Kota Ekonomi Digital.

Walaupun bukan lagi di pihak kerajaan, namun katanya tawaran dibuat ketika kempen pilihan raya umum ke-15 (PRU15) perlu diteruskan.

“Saya fikir ini satu perkara yang kita di Malaysia, bukan saja di Indera Mahkota harus pelajari, kita ini selalu dan antara masalah kita ialah kita selalu berlaku ‘discontinuity’ apabila bertukar kerajaan, ada masanya bertukar menteri saja, dasar yang baik (untuk rakyat) tidak diteruskan.

“Pada saya, walaupun (sekarang) saya ahli parlimen biasa dan pembangkang, saya nak teruskan perkara ini dan ada cara nak teruskan,” katanya selepas program IMDialog di Kuantan, hari ini.

Saifuddin ketika kempen PRU15 mengumumkan tiga fokus utama diberi perhatian jika dipilih sekali lagi sebagai wakil rakyat kawasan itu.

Katanya, fokus pertama ialah mencipta peluang ekonomi kepada penduduk diikuti mewujudkan jaringan pendidikan bagi memudahkan pemadanan antara sekolah, pusat pengajian tinggi dan pemain industri.

Fokus ketiga pula menaik taraf kemudahan asas termasuklah usaha bagi mengatasi masalah banjir.

“Tumpuan paling penting ialah usaha memulihkan ekonomi kerana kebanyakan daripada kita masih belum bangkit sepenuhnya selepas dua tahun dihantui Covid-19.

“Saya fikir Indera Mahkota mempunyai potensi besar untuk menjadi Kota Ekonomi Digital memandangkan semuanya ada di sini,” katanya.

Ketika ditanya sama ada beliau akan bertemu Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil bagi membincangkan perkara itu, Saifuddin berkata, perancangan boleh diteruskan tanpa bertemu menteri berkenaan.

“Dia ada dua cara, sama ada bertemu dengan menteri bertanggungjawab atau agensi berkaitan.

“Macam agensi-agensi kerajaan dia bersifat apolitikal, mereka harus diberi kebebasan untuk bekerjasama dengan siapa saja, sama ada kerajaan Pusat atau kerajaan negeri.

“Kita harus bersikap terbuka dari segi memastikan program-program pembangunan rakyat boleh berjalan tanpa diganggu elemen-elemen politik,” katanya lagi. – Malaysiapost

Komen