Kanak-kanak ditemui tepi jalan disyaki mangsa dera

Kanak-kanak ditemui tepi jalan disyaki mangsa dera

KANAK-KANAK yang ditemui ditinggalkan bersendirian di tepi jalan simpang tiga Apartment Cheras Utama, Batu 9 Cheras, malam semalam, disyaki menjadi mangsa dera.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, mangsa yang berumur tiga hingga empat tahun itu kini ditempatkan di Wad Kanak-kanak Hospital Kajang bagi rawatan lanjut.

Katanya, hasil pemeriksaan awal pegawai perubatan mangsa berada di dalam keaadan sihat dan stabil.

Menurutnya, polis telah menerima panggilan daripada seorang lelaki yang kemudian melaporkan perkara itu kepada pihak polis melalui talian MERS999 kira-kira jam 11.30 malam.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan lanjut oleh pihak polis terhadap mangsa tidak menjumpai sebarang butiran atau dokumen pengenalan diri.

“Kita mengesyaki kanak-kanak itu anak warganegara asing kerana tiada mempunyai sebarang kesan suntikan vaksin di bahu dan mangsa juga tidak memahami serta tidak dapat berkomunikasi dalam bahasa tempatan.

“Kanak-kanak itu ditemui dalam keadaan berpakaian lengkap dan pengadu menemui beberapa kesan kecederaan pada tubuh, tangan dan dahi kanak-kanak terbabit,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Zaid berkata, kertas siasatan telah dibuka dibawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 kerana mempunyai elemen penderaan dan pengabaian terhadap kanak-kanak.

Sehubungan itu, beliau menyeru orang awam yang mempunyai maklumat tentang kejadian itu memaklumkan kepada pihak polis untuk membantu siasatan.

Katanya, maklumat juga boleh disalurkan dengan menghubungi mana-mana balai polis yang berdekatan atau Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Zaiyaudi Mohd Yaakub di talian 019-5355395.

Terdahulu, tular satu rakaman video di media sosial berhubung penemuan kanak-kanak berkenaan. – Malaysiapost

Komen