Kumpulan ‘boo’ usul tiada pertandingan dari ketua bahagian sokong Muhyiddin – Puad

Kumpulan ‘boo’ usul tiada pertandingan dari ketua bahagian sokong Muhyiddin – Puad

AHLI Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi memberitahu kumpulan menyindir usul tiada pertandingan dalam pemilihan parti itu hanya dilakukan sebilangan ketua bahagian.

Beliau berkata, sedangkan hampir dua pertiga perwakilan dalam Perhimpunan Agung Umno (PAU) semalam berdiri menyokong usul tambahan mahu jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan.

“Suka puak yang boo usul tiada pertandingan. Masakan tidak, ada satu dua portal termasuk Utusan Malaysia buat “headline” usul tiada pertandingan kena boo.

“Padahal yang boo itu hanya dua tiga kerat Ketua Bahagian yang pro perancang utama SD (Akuan Bersumpah) dokong Muhyiddin sebagai PM. Sedangkan hampir dua pertiga perwakilan berdiri sokong usul tambahan oleh wakil Negeri Sembilan,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

Mohd Puad berkata, bagaimanapun, apabila pembahas seterusnya menyokong usul tiada pertandingan kumpulan itu ‘senyap menyepi’.

“Apa pun tengok hari ini. Usull itu akan diundi. Jangan pula tuduh di belakang, parti tidak demokratiik setelah diundi. Boo itu sendiri adalah demokrasi walaupun tidak bersusila,” katanya.

PAU 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), semalam hangat apabila perwakilan Negeri Sembilan mencadangkan usul tambahan, jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan parti akan datang.

Cadangan usul itu dikemukakan wakil Umno Bahagian Rembau Mohd Shukri Shamsudin pada ucapannya sebagai pencadang usul Ucapan Dasar Presiden.

Usul itu kemudiannya disokong oleh perwakilan Terengganu merangkap Ketua Umno Bahagian Marang, Datuk Nik Dir Nik Wan Ku.

Usul yang dikemukakan itu mendapat reaksi berbeza daripada perwakilan yang mana ada suara teriakan ‘boo’ dan ada juga yang bertepuk tangan di Dewan Merdeka WTCKL.

Selain Mohd Shukri, perwakilan Wanita Umno, Suziyana Mahayuddin turut mengemukakan cadangan usul tambahan sama untuk dua jawatan utama itu tidak dipertandingkan dan usul itu turut disokong perwakilan Terengganu.

Sementara itu, Ketua Penerangan Umno Isham Jalil menafikan berlaku kekecohan dalam dewan hari ini susulan usul dua jawatan penting itu tidak dipertandingkan.

“Tiada.. Mana ada (berlaku kekecohan). Umno setakat ini tiada kecoh main baling kerusi,” katanya. – Malaysiapost

Komen