PAU : Dua usul tambahan tidak sempurna – Umno Johor

PAU : Dua usul tambahan tidak sempurna – Umno Johor

USUL tambahan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan dalam pemilihan Umno, didakwa tidak sempurna dan tidak boleh diteruskan hari ini.

Perwakilan Umno Johor yang juga Timbalan Ketua Umno Bahagian Iskandar Puteri, Datuk Pandak Ahmad, menegaskan usul tambahan itu bertentangan dengan Fasal 30 Perlembagaan Umno dan Perkara 10 Peraturan Persidangan.

Menurutnya, usul itu sepatutnya dibawa secara berasingan, bukan secara serentak dengan usul Ucapan Dasar Presiden.

“Saya pun pelik, macam mana usul tambahan ini boleh diterima dan dibahaskan. Mungkin Umno sekarang dah jadi parti asal boleh agaknya.

“Merujuk Fasal 30 Perlembagaan Umno dan Perkara 10 Peraturan Persidangan, saya dapati usul yang dibawa semalam tidak sempurna dan tidak boleh diteruskan di dalam PAU kali ini.

“Ia perlu dimurnikan mengikut perlembagaan dan peraturan mesyuarat. Jika tidak pasti, silalah rujuk sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul Ucapan Dasar Presiden, di Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2022 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) hari ini.

Semalam, cadangan usul tambahan itu dikemukakan wakil Umno Bahagian Rembau, Mohd Shukri Shamsudin ketika berucap sebagai pencadang usul Ucapan Dasar Presiden, namun mendapat reaksi berbeza daripada perwakilan.

Menerusi rakaman video yang tular di media sosial semalam, beberapa perwakilan dilihat bangun selepas cadangan usul itu dibangkitkan sambil bertepuk tangan dengan suara laungan ‘setuju’ kedengaran menyokong cadangan itu.

Pada masa sama, ada kumpulan perwakilan lain dilihat membantah cadangan usul tambahan itu dengan laungan ‘boo’.

Sementara itu, Pandak mempersoalkan berapa lama lagi ahli Umno mahu menunggang isu perpaduan dan kestabilan parti semata-mata mahu menyekat pertandingan dua jawatan tertinggi itu.

Ujarnya, apakah alasan hanya dua jawatan itu mahu dihalang daripada dipertandingkan, jika benar kumpulan yang menyokong cadangan berkenaan benar-benar mahukan perpaduan dan kestabilan parti.

“Kenapa bukan semua jawatan parti di bahagian dan cawangan juga tidak dipertandingkan? Barulah perpaduan dan kestabilan parti terjaga,” katanya lagi.

Pada masa sama, beliau mendakwa, cadangan menghalang dua jawatan itu daripada dipertandingkan dilihat canggung kerana bertentangan dengan semangat Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang bersedia mempertahankan jawatan disandangnya.

“Seingat saya, presiden telah berjabat tangan, menyebut ‘ready to fight’ (sedia bertempur) kepada Khairy Jamaluddin. Seingat saya, presiden pun berjiwa besar. Seingat saya, presiden tidak ada masalah untuk bertanding dan yakin untuk mempertahankan jawatan. Begitu juga timbalan presiden.

“Tapi semalam kita pula membahaskan usul tambahan untuk tidak mempertandingkan jawatan presiden dan timbalan presiden atas nama perpaduan dan kestabilan parti,” katanya. – Malaysiapost

Komen