Tiada pertandingan 2 jawatan tertinggi: Keputusan ikut Perlembagaan Umno – Zahid

Tiada pertandingan 2 jawatan tertinggi: Keputusan ikut Perlembagaan Umno – Zahid

Najamuddin Mohd Nor

PENGERUSI Tetap Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2022 telah melakukan tugas mengikut fasal dan perkara yang terkandung dalam perlembagaan parti itu dalam memutuskan sebarang usul.

Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan PAU 2022 yang memuktamadkan tiada pertandingan untuk dua jawatan tertinggi parti dalam pemilihan tahun ini, sah mengikut perlembagaan Umno.

Malah, beliau menegaskan, sebarang keputusan yang dimuktamadkan dalam PAU adalah keputusan peringkat tertinggi dalam Umno berdasarkan perlembagaan parti itu.

“Pengerusi Tetap telah melakukan sepenuhnya perkara perkara yang ada perlembagaan parti dengan sebaiknya.

“Ini termasuk dua pertambahan usul itu sendiri,” katanya dalam sidang media selepas berakhirnya PAU 2022, hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, pastinya keputusan PAU 2022 itu telah dikaji oleh perwakilan berkenaan baik atau buruknya dua usul itu.

“Kami berdualah khususnya, kami tidak mengikuti bagaimana pencadang dan penyokong itu melakukan ucapannya, tetapi akhirnya menentukan keputusan itu.

“Daripada jurucakap-jurucakap perwakilan,
rasional untuk perkara ini telah diperincikan oleh semua jurucakap dari seluruh negara.

“Maka keputisan tadi adalah muktamad, sesuai dengan apa yang saya nyatakan dalam wawancara atau pun dalam media bahawa kami menyerahkan perkara ini kepada perwakilan untuk menentukannya,” katanya.

Mengulas dakwaan Khairy Jamaluddin terdapat usaha mengimport perwakilan agar dua usul berkenaan diluluskan, Ahmad Zahid berkata, perkara itu mastahil berlaku kerana setiap perwakilan dibekalkan kad nama sebelum dibenarkan masuk Dewan Merdeka.

“Mana boleh masuk kalau tak ada kad ini. Saya tak nak sebut pas, kalau tak ada kad ini tak boleh masuk.

“Tak ada hanky panky. Saya dah semak selepas majlis dengan Datuk Asarizam bahawa semua perkara telah mengikut fasal dan perkara dalam peraturan mesyuarat,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri menegaskan, beliau dan Datuk Seri Mohamad Hasan tidak bimbang dengan dakwaan kononnya takut untuk bertanding kerana keputusan ini telah ditentukan akar umbi.

“Soal itu tidak timbul kerana perwakilan itu adalah akar umbi, mereka daripada akar umbi parti, mereka yang mahukan soal perpaduan parti diutamakan,” katanya.

Terdahulu, hampir keseluruhan perwakilan PAU 2022 menyokong penuh dua jawatan tertinggi parti tidak dipertandingkan pada pemilihan tahun ini.

Keputusan itu menyebabkan Ahmad Zahid dan Mohamad kekal menjadi Presiden dan Timbalan Presiden Umno untuk lima tahun lagi. -Malaysiapost

Komen