‘Tiada siapa mahu pengkhianat dalam keluarganya’

‘Tiada siapa mahu pengkhianat dalam keluarganya’

TIDAK ada sesiapa pun mahu pengkhianat berada dalam keluarganya, begitu jugalah dengan Umno, kata Datuk Hang Tuah Din.

Ketua Umno Bahagian Gopeng itu berkata, pengkhianat tidak ada tempat dalam parti keramat seperti Umno.

“Kalau dalam keluarga kita pun tak nak pengkhianat, apatah lagi Umno, mereka sepatutnya tiada tempat dalam parti ini lagi.

“Jika ditanya apakah hukuman sewajarnya, bagi saya sekiranya terbukti, pengkhianat itu sepatutnya dinyahkan dari parti ini. Kita tak mahu ada duri dalam daging dalam parti,” katanya.

Beliau berkata kepada Malaysiapost ketika ditemui di Pusat Dagangan Dunia (WTC), sempena Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2022, hari ini.

Dalam ucapan taklimat Presiden sempena PAU 2022, Rabu lalu, Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan 10 Ahli Parlimen BN telah menandatangani surat sokongan akuan bersumpah menyokong Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri selepas PRU15 keluar.

Bagaimanapun, Ahmad Zahid berkata, kekhilafan mereka telah dimaafkannya dan berharap perkara itu tidak berlaku pada masa akan datang.

Menyentuh sama ada keperluan dua jawatan tertinggi Umno dipertandingkan pada pemilihan parti tahun ini, Hang Tuah berkata, banyak pro dan kontra mengenai perkara itu.

“Kita perlu beri masa kepada Presiden untuk memulihkan parti, memperkukuhkan parti.

“Beliau pun baru jadi Timbalan Perdana Menteri, sudah tentu perlukan masa untuk membawa pengukuhan ke dalam parti.

“Namun jika ada pertandingan pun baik untuk Umno kerana menyuburkan demokrasi dan memberi peluang parti untuk membuat perubahan dari dalam,” katanya. – Malaysiapost

Komen